Korea tarik diri, China anjur Piala Asia 2023

Image result for Piala Asia 2023

SEOUL 16 Mei – Korea Selatan menarik diri daripada bidaan menjadi tuan rumah bola sepak Piala Asia 2023 sekaligus mencerahkan peluang pesaingnya, China untuk menganjurkannya.



Kedua-dua negara sebelum ini menawarkan diri untuk menjadi penganjur namun kenyataan terbaharu yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Korea Selatan (KFA) hari ini mengubah persaingan menjadi penguasaan tunggal satu negara sahaja.

KFA berkata, langkah menarik diri tersebut terpaksa dibuat kerana pihaknya mahu memberikan fokus untuk menjadi tuan rumah bersama dengan Korea Utara dalam menganjurkan Piala Dunia Wanita yang bakal berlangsung pada tahun yang sama.

Walaupun hanya baharu mengemukakan bidaan bersama untuk menganjurkan Piala Dunia Wanita pada Mac lalu, KFA lebih mengutamakannya berbanding Piala Asia yang telah dibida dua tahun lalu memandangkan hubungan diplomatik dua negara berjiran itu semakin pulih selepas dibayangi kegagalan perjanjian nuklear Korea Utara-Amerika Syarikat sebelum ini.




“Untuk Piala Dunia Wanita, FIFA dan kerajaan Korea Selatan akan menyediakan sokongan berterusan dengan harapan menjadi tuan rumah bersama dapat direalisasikan,” kata Presiden KFA, Chun Han-jin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan awal hari ini.

Dengan perkembangan itu, China kini hanya menunggu masa sahaja untuk diumumkan sebagai tuan rumah Piala Asia 2023 buat kali kedua oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada 4 Jun nanti.

Negara itu pernah menjadi tuan rumah Piala Asia kali pertama pada 2004 tetapi tewas di final kepada Jepun yang menang 3-1 dalam aksi yang berlangsung di Beijing ketika itu. – AFP