Man United sokong Solskjaer buka ‘buku baharu’

Image result for Ed Woodward Solskjaer

LONDON 16 Mei – Naib Pengerusi Eksekutif Manchester United, Ed Woodward berikrar bahawa pengurus Ole Gunnar Solskjaer akan mendapat sokongan penuh pada jendela perpindahan, musim panas ini, meskipun dia kecewa terhadap pencapaian Red Devils pada penghujung musim.



Solskjaer hanya dilantik selaku pengurus tetap, Mac lalu, tetapi dia telah mula berada di bawah tekanan selepas United hanya mencatat dua kemenangan daripada 11 perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan.

“Walaupun kecewa sejak beberapa minggu lalu, kami tetap gembira untuk mengesahkan pelantikan Ole dengan kontrak selama tiga tahun. Persediaan untuk musim baharu sedang berjalan dan bagi mengukuhkan perniagaan, kami akan memberikan sokongan penuh kepada pengurus dan pasukannya demi masa depan yang lebih baik,” kata Woodward dalam satu persidangan bersama para pelabur bagi membentangkan laporan kewangan suku ketiga United, hari ini.




United menamatkan musim ini, keciciran 32 mata di belakang juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City dan gagal layak ke Liga Juara-Juara selepas sekadar menamatkan saingan di kedudukan keenam.

Solskjaer secara terbuka mengakui, bahawa rombakan besar-besaran perlu dilakukan di Old Trafford, tetapi dalam masa sama dia berharap akan dapat membuka ‘buku baharu’ sebaik musim baharu membuka tirai kelak.

“Saya tidak sabar menanti untuk melakukan permulaan baharu. Kami telah meletakkan sasaran, seiring dengan cita-cita dan kami bersetuju untuk berganding bahu di atas prinsip yang sama,” kata warga Norway itu. – AFP