Conte, Pochettino calon jurulatih Juventus

LONDON 17 Mei – Mauricio Pochettino dan Antonio Conte muncul calon pilihan untuk membimbing Juventus, musim depan.

Juara Serie A itu hari ini mengesahkan, Massimiliano Allegri akan meninggalkan skuad The Old Lady meskipun telah membawa mereka merangkul kejuaraan liga bola sepak utama Itali selama lima musim berturut-turut.



Kegagalannya membawa kelab Turin itu merangkul gelaran Liga Juara-Juara antara sebab Juventus dikatakan mencari muka baharu untuk membimbing pasukan.

Pengendali kelahiran Argentina, Pochettino, 47, menjadi pilihan pertama ekoran kejayaannya membawa Tottenham melangkah ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama, musim ini.




Bagaimanapun bekas pengendali Chelsea, Conte yang pernah membimbing Juventus dari 2011 hingga 2014 turut menjadi sebutan untuk kembali ke Turin.

Pada ketika usaha mendapatkan Pochettino tidak mudah, apatah lagi nilainya kini melambung tinggi, Conte dilihat sebagai pilihan yang lebih mudah dan murah.

Conte, 49, tidak membimbing mana-mana pasukan sejak dipecat oleh Chelsea tahun lalu. – AGENSI