Bayern Munich juara lagi, Robben & Ribery menangis di hari terakhir

BERLIN 18 Mei – Franck Ribery dan Arjen Robben yang membuat penampilan terakhir bersama Bayern Munich masing-masing meledak gol ketika membantu gergasi bola sepak Jerman itu menumpaskan Eintracht Frankfurt 5-1 hari ini untuk menjulang trofi Bundesliga buat kali ketujuh berturut-turut.

Ia adalah penamat paling sempurna buat dua ikon kelab itu, apatah lagi berjaya membantu pasukannya mengetepikan cabaran sengit Borussia Dortmund dengan kelebihan tipis dua mata pada hari terakhir pertandingan.



Meskipun berjaya menumpaskan Borussia Moenchengladbach 2-0 dalam perlawanan yang diadakan serentak, namun kemenangan Bayern menutup sebarang peluang buat Dortmund.

Keinginan Bayern untuk mencari kemenangan di depan penyokong sendiri terserlah sejak awal apabila Kingsley Coman meledak gol pembukaan seawal minit keempat.

Bagaimanapun pasukan pelawat mencemaskan kedudukan seketika apabila menyamakan kedudukan menerusi Sebastien Haller pada minit ke-50.

Bayern tidak menunggu lama untuk menunjukkan tindak balas apabila David Alaba, Renato Sanches, Ribery dan Robben merobek gawang lawan pada minit ke-53, 58, 72 serta 78 bagi memastikan trofi Bundesliga kekal di Allianz Arena sejak 2012.

Sementara itu suasana sedih menyelubungi dua pemain veteran Bayern Munich, Arjen Robben dan Frank Ribery pada hari terakhir mereka bersama kelab itu yang baharu ditabalkan sebagai juara Bundesliga buat kali ketujuh berturut-turut.

Kedua-dua mereka akan meninggalkan Bayern penghujung musim ini selepas lebih 10 tahun menabur bakti bersama kelab gergasi Jerman itu. Lebih istimewa mereka berdua turut menjaringkan gol ketika menewaskan Eintracht Frankfurt 5-1 pada aksi terakhir musim awal hari ini.




“Selepas perlawanan terakhir seperti ini, terlalu banyak emosi perlu saya lalui meliputi seluruh badan rasanya. Ia tidak boleh diterjemahkan dengan kata-kata dan dalam waktu sama tidak boleh juga mengelak daripada melaluinya,” kata Robben.

“Ia satu detik istimewa apabila pada hari terakhir di sini kami berjaya merangkul juara liga apatah lagi dengan kehadiran ahli keluarga saya yang datang dsari Perancis,” kata Ribery pula.

10 JUARA TERAKHIR

——————

2018/19: Bayern Munich

2017/18: Bayern Munich

2016/17: Bayern Munich

2015/16: Bayern Munich

2014/15: Bayern Munich

2013/14: Bayern Munich

2012/13: Bayern Munich

2011/12: Borussia Dortmund

2010/11: Borussia Dortmund

2009/10: Bayern Munich