[Video] Dakwa sengaja menumbuk muka, Abe Bakar selar tindakan Farizal

MENERUSI tangkap layar klip video di Instagram, kelihatan penjaga

KUALA LUMPUR 19 Mei – Pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim menyelar tindakan penjaga gawang Selangor, Mohd. Farizal Harun selepas terlibat dengan insiden kekasaran dengan pemain tengah pasukannya, Mohamad Al-Fateh Afandi ketika kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, semalam.



Dalam satu video klip di laman Instagram, Farizal dilihat seperti sengaja melayangkan tumbukan tanpa sebarang sebab ke arah muka Al-Fateh pada minit ke-53 permainan.

Abu Bakar, bagaimanapun mengakui, dia tidak sedar dengan insiden yang berlaku itu dan hanya mengetahui perkara tersebut selepas video klip mengenainya tersebar.

Menurutnya, Al-Fateh juga tidak mengalami sebarang kecederaan, namun, insiden itu dilihat sebagai sesuatu yang pelik kerana tiada sebarang provokasi yang berlaku sepanjang perlawanan tersebut.

“Saya sendiri tidak sedar dengan insiden itu tetapi agak mengejutkan kerana secara tiba-tiba Al-Fateh ditumbuk dari arah belakang tanpa sebarang sebab tetapi nasib baik tidak ada sebarang kecederaan serius berlaku.

“Al-Fateh juga dilihat tidak berdepan masalah selepas tamat permainan, macam tiada apa-apa yang berlaku. Saya serahkan perkara ini kepada pihak pengurusan untuk mengambil tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Abu Bakar memuji kesungguhan barisan pemainnya kerana berjaya mengikat Selangor untuk meraih satu mata dalam perlawanan tersebut.




Dalam perlawanan itu hanya Pedro Victor dan Yashir Pinto menjadi sandaran mereka selepas Giancarlo Lopez serta Amani Aguinaldo digantung perlawanan, manakala, Thomas Abbey retak tulang kaki selain kapten, Hafiz Ramdan juga mengalami kecederaan.

“Saya puji semangat juang pemain yang mahu mengelak jurang mata yang besar apabila bangkit menyamakan kedudukan selepas ketinggalan 0-1. Satu mata bagi PKNP adalah cukup baik dalam keadaan kesukaran dihadapi kita ketika ini, sekali gus dapat kekal dalam kedudukan 10 pasukan teratas Liga Super,” katanya. – UTUSAN