[VIDEO] Pahang, Perak buntu jaringan

KUANTAN: Skuad Pahang gagal memanfaatkan peluang di laman sendiri apabila seri 0-0 berdepan Perak di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Pada perlawanan itu, skuad kendalian Dollah Salleh dan Mehmet Durakovic tampil dengan corak permainan kurang agresif terutama pada separuh masa pertama.



Peluang terbaik tuan rumah hanya hadir menerusi Matthew Davies, namun bola rembatan kapten Tok Gajah itu berjaya ditangkap kemas penjaga gol Perak, Khairul Amri Salehuddin pada minit ke-27.

Tanpa banyak gerakan berbahaya ke kubu lawan masing-masing, Pahang dan Perak akur gagal menjaringkan gol sebaik berakhir separuh masa pertama.




Bersambung babak kedua, pemain import Pahang, Saddil Ramdani hampir menjaringkan gol tetapi bola rembatannya melepasi palang pada minit ke-52.

Penyerang import berbisa Perak, Ronaldo Henrique juga buntu untuk membolosi kubu tuan rumah yang cukup kebal kali ini.