Jangan ada campur tangan politik – TMJ

JOHOR BAHRU 22 Mei – Ahli politik di negara ini tidak campur tangan dalam kancah bola sepak negara sebaliknya membiarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjalankan tugasnya.

Pengerusi Malaysian Football League (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, sekiranya ada campur tangan politik dalam bola sepak dikhuatiri akan membantutkan usaha pihaknya untuk memajukan Liga Malaysia (Liga M).



“Jika ada campur tangan politik dalam bola sepak kita takut FIFA akan mengambil tindakan terhadap kita termasuk menggantung Liga M.

“Ini bukan sahaja memberi kesan kepada pasukan bertanding malah akan memberi kesan kepada pasukan kebangsaan,” katanya dalam sidang akhbar di Hotel Thistle Johor Bahru di sini sebentar tadi.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengingatkan semua atlet terutamanya pemain bola sepak profesional tempatan supaya menjalankan tanggungjawab dengan membayar cukai pendapatan jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.




Menurut Tunku Ismail, beliau menghormati pandangan Syed Saddiq kerana isu cukai adalah menjadi tanggungjawab setiap pasukan dan pemain untuk menjelaskan bayaran mereka.

“Bagi melahirkan pasukan kebangsaan yang kuat, kita harus ada saingan liga yang kuat dan kualiti liga perlu dijaga.

“Jika ada campur tangan ini tidak boleh kerana FIFA akan ambil tindakan pergantungan penyertaan liga kita dalam negara apabila itu berlaku akan memberi kesan kepada pasukan kebangsaan,” katanya. – UTUSAN