JDT masih berpeluang untuk mara ke saingan kalah mati ACL – Hariss Harun

“Kami tahu kami mempunyai peluang dan kami akan berikan saingan sehingga penamat. Apa yang berlaku selepas itu, kita akan lihat, tetapi kami akan berikan yang terbaik.” Begitulah pengharapan yang diungkapkan oleh kapten pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Hariss Harun menjelang perlawanan menentang Gyeonman FC, pada petang ini.

Ketika ini, JDT menduduki tangga terakhir Kumpulan E, dengan kutipan empat mata, Manakala lawannya, Gyeongnam FC berada di kedudukan ketiga dengan kelebihan satu mata berbanding skuad Harimau Selatan. Untuk layak ke saingan kalah mati, JDT perlu mencatatkan kemenangan di samping mengharapkan Shandong Luneng mengalahkan Kashima Antlers dalam perlawanan yang dijadualkan pada jam 6 petang waktu tempatan kelak.



Dalam aksi menentang wakil Republik Korea di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin pada perlawanan ke-2 lalu, kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 selepas 90 minit permainan. Walaupun seri, statistik dan corak permainan jelas berpihak kepada juara Liga Super Malaysia lima kali berturut-turut itu.

“Kami telah bermain dengan baik dalam perlawanan terdahulu dan kami masih mempunyai peluang untuk mara ke pusingan seterusnya, kami sangat teruja dan tidak sabar menantikan perlawanan ini,

“Gyeongnam mempunyai beberapa pemain tinggi lampai dan mendatangkan masalah kepada kami terutamanya dalam situasi ‘set pieces’ dalam perlawanan lalu, tetapi kami tidak akan kehilangan apa-apa pada perlawanan malam ini.” tambah Hariss Harun lagi dalam laman sesawang rasmi AFC Champions League.

Masih segar dengan kejayaan menumpaskan juara bertahan, Kashima Antlers di Larkin pada aksi ke-5 lalu, Hariss menegaskan momentum kemenangan tersebut akan dibawa ketika menentang Gyeongnam FC pada petang ini.




“(Kemenangan ke atas Kashima) memberikan suntikan semangat yang tinggi dan meningkatkan keyakinan kerana kami menunjukkan kemampuan untuk bersaing dan mendapatkan keputusan yang kami mahukan di peringkat Liga Juara-Juara AFC,”

“Keputusan itu telah meningkatkan kepercayaan dalam pasukan dan semua yang terlibat dengan kelab sangat gembira dan berbangga.”

“Satu detik yang bersejarah dan lebih bermakna ia ketika menentang juara bertahan, tetapi ia telah berlalu, sekarang kami perlu menumpukan perhatian kepada objektif kami yang seterusnya.” katanya.