Forkey Doe, Kaimbi sertai latihan Tok Gajah

KUANTAN: Kemunculan dua pemain import termasuk seorang bekas pemain skuad Tok Gajah yang menjalani latihan bersama pasukan Dollah Salleh di sini, menimbulkan tanda tanya di kalangan peminat bola sepak negeri ini.

Forkey Doe dari Liberia yang pernah bersama Pahang musim lalu dan Lazarus Kaimbi dari Namibia yang menyarung jersi pasukan Kelantan, muncul secara tiba-tiba tanpa sebarang spekulasi sebelum ini.



Kehadiran dua penyerang import itu sekali gus menimbulkan spekluasi mengenai kemungkinan Dollah akan melakukan rombakan di bahagian serangan yang dikatakan agak tumpul dalam usaha untuk mencabar kejuaraan liga musim ini.

Menurut sumber, kehadiran dua pemain import itu menjalani latihan lebih kepada mencuba nasib sama ada skuad Tok Gajah ingin mendapatkan khidmat mereka pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M).




“Setakat ini, tiada keputusan rasmi untuk menukar pemain terutama penyerang selepas keputusan kurang memuaskan dalam saingan Liga Super.

“Segala-galanya kini terpulang kepada keputusan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) untuk menukar pemain import atau mengekalkan pemain sedia ada,” katanya.

Musim ini, Pahang menyenaraikan lima pemain import iaitu Dickson Nwakaeme dari Nigeria, Jose Eduardo atau Ze Love (Brazil), Horelof Goulon (Perancis), Safuwan Baharudin (Singapura) dan Saddil Ramdani (Indonesia).