Melaka United tandatangan bekas anak buah Ole Gunnar Solskjaer, Davy Claude Angan

Pasukan Melaka United mengumumkan kemasukan pemain baharu iaitu pemain yang pernah dibimbing oleh Ole Gunnar Solskjaer di Molde FC, Davy Claude Angan menerusi laman sosial Melaka United Soccer Association – MUSA, semalam.



“Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) mengucapkan selamat datang kepada import baharu Melaka United, Davy Claude Angan yang sah menyertai pasukan pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia musim ini.

“Beliau menandatangani kontrak bersama Skuad Hang Tuah di Wisma MUSA disaksikan Timbalan Presiden MUSA yang juga Pengurus Pasukan Melaka United, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, Bendahari Kehormat MUSA, Tn Hj Yuhaizad Abdullah serta Setiausaha Agung MUSA, En Farhan Ibrahim.” tulis kenyataan di laman sosial tersebut.

Davy Claude Angan merupakan seorang penyerang berusia 32 tahun berasal dari Abidjan, Ivory Coast. Beliau pernah berkelana di bumi eropah terutamanya Norway bersama pasukan Lyn, Hønefoss dan Molde FK yang dibimbing oleh Ole Gunnar Solskjaer yang kini menjadi pengurus Manchester United.




Davy Claude Angan ketika menyertai pasukan Liga Super China, Hangzhou Greentown. Foto: Molde FK

Selain Norway, Angan juga pernah beraksi di Liga Super China bersama pasukan Hangzhou Greentown sekitar tahun 2013 – 2015. Selepas itu, beliau ke Turki dan bermain bersama pasukan Gaziantepspor (2016-2017) sebelum ke pasukan Samsunspor yang bersaing di divisyen 2. Pasukan terakhir yang diwakili oleh Angan adalah Mosta FC dalam saingan Liga Perdana Malta.

Pada masa yang sama, Melaka United turut mengumumkan kedatangan seorang lagi pemain import iaitu Dominik Balić, seorang pemain ‘defensive midfielder’ dan juga pertahanan. Balić berusia 23 tahun dan berasal dari Split, Croatia. Sebelum itu, pemain muda tinggi lampai ini beraksi bersama pasukan NK Dugopolje dalam saingan divisyen 2 bola sepak Croatia.