Arsenal, Chelsea pulangkan tiket final

LONDON: Arsenal dan Chelsea sudah memulangkan lebih separuh daripada 12,000 tiket final Liga Europa yang diperuntukkan kepada kedua-dua pasukan berikutan kesukaran dan perbelanjaan besar peminat ke Baku, Azerbaijan.



Kekurangan penerbangan terus dari London ke Baku bermakna peminat perlu membelanjakan £1,000 (RM5,324) untuk perbelanjaan pergi dan balik sejauh lebih 8,000 kilometer tidak termasuk kos tiket perlawanan dan penginapan.

Arsenal sebelum ini membuat aduan mengenai peruntukan yang dianggap sedikit tetapi mengesahkan kepada AFP yang mereka sudah memulangkan 2,200 tiket bagi aksi final Eropah pertama Gunners dalam tempoh 13 tahun.

AFP difahamkan Chelsea baru menjual 2,000 tiket daripada 6,000 tiket yang diperuntukkan kepada mereka.

Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) menafikan laporan yang mengatakan penaja turut memulangkan tiket dan berkata yakin peminat tempatan akan membeli baki tiket bagi memastikan Stadium Olimpik yang memiliki kapasiti 68,000 tempat duduk penuh.

“Kebanyakan tiket sudah pun dijual kepada peminat tempatan di Azerbaijan dan kami yakin baki yang tinggal juga akan dijual kerana permintaan amat tinggi,” kata UEFA dalam satu kenyataan.




Kelab peminat, Chelsea Supporters Trust (CST) yang menyertai beberapa lagi kumpulan peminat bukan saja mengkritik UEFA berikutan lokasi aksi final berkenaan, tetapi turut mengecam kelab kerana tidak menjaga kebajikan mereka.

“Baku adalah lokasi yang langsung tidak sesuai bagi perlawanan final besar kejohanan Eropah. Kombinasi kos, kesukaran berkaitan dengan urusan perjalanan dan masa kerja mengurangkan sokongan peminat yang ingin bertandang secara besar-besaran, termasuk peminat yang setia dan bersedia untuk pergi ke gelanggang sendiri, tempat lawan dan perlawanan Eropah,” kata CTS.

CST juga membuat aduan mengenai kos penerbangan sewa yang diaturkan oleh Chelsea dan mendakwa kelab tidak melanjutkan tempoh untuk pembaharuan tiket semusim bagi membantu aliran tunai peminat.

Perlawanan final Liga Europa yang membabitkan dua kelab Inggeris itu dijadualkan pada 29 Mei ini. – AFP