Sathianathan tempelak aksi bodoh, lembab Selangor

Sathianathan tempelak aksi bodoh, lembab Selangor

Jurulatih Selangor, B. Sathianathan, enggan menuding jari kepada kapten, K. Sarkunan, yang menjaringkan gol sendiri dalam kekalahan 0-1 kepada Terengganu FC (TFC), malam tadi.

Sambil mengakui ia aksi terburuk Selangor, Sathianathan berkata pemain lain perlu dipersalahkan termasuk pemain kebangsaan yang jelasnya beraksi di bawah tahap sebenar.



Malah bekas jurulatih Felda United itu terus melepaskan geram dengan melabel skuad bimbingannya lebih banyak berjalan kaki berbanding bermain bola sepak.

Rumusan itu dibuatnya selepas menyaksikan jaringan sendiri Sarkunan dalam masa tambahan 90 minit memusnahkan hasrat Selangor untuk sekurang-kurangnya seri.

“Tiga minit lagi, gol itu berpunca dari mana? Kami bodoh. Lee Tuck melarikan bola sejauh 20, 30 ela tanpa dihalang ketika kami hilang penguasaan bola.

“Sepatutnya pemain-pemain ‘simpan’ bola dalam kawasan sendiri tapi saya tak tahu kenapa kami lembab,” jelasnya.




Kunjungan Selangor ke Kuala Terengganu berakhir dengan kekalahan selepas Sarkunan tertolak masuk bola gerakan yang dimulakan Tuck pada minit ke-91.

Menurut Sathianathan, TFC berhak mendapat kemenangan tersebut dengan deretan peluang terhidang selain dibantu aksi tidak bermaya pasukannya.

“Kami asyik hilang bola dan itu yang memberi masalah sehinggakan barisan pertahanan saya nak muntah kerana selalu diserang.

“Saya lihat pemain-pemain letih dan mudah sangat hilang bola. Kami tidak boleh salahkan padang, kena salahkan diri sendiri,” kata Sathianathan.