Yusri Che Lah tak faham masalah kewangan Kelantan?

Related image

Penolong jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah buat kesekian kalinya meminta Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mendapatkan pemain import baru sebelum tarikh tutup perpindahan kedua pada 29 Mei ini, jika berhasrat untuk terus memberikan saingan dalam misi kekal di Liga Premier.

Kelantan ketika ini cuma ada Cassio Francisco De Jesus yang begitu lama bergelut dengan kecederaan, tatkala Raul Taragona dan Flavio Beck Junior sudahpun angkat kaki, manakala Mustafa Zazai pula hilang dari radar sejak dikritik begitu lantang oleh Yusri Che Lah selepas kekalahan kepada Negeri Sembilan bulan lalu.



Bayangkan sejak kembali ke Kelantan pada pertengahan April, Yusri Che Lah sudah lima kali membuat kenyataan rasmi betapa rapuhnya Kelantan tanpa pemain import.

Keluhan Yusri Che Lah ada benarnya, kehadiran import boleh membekalkan kekuatan tambahan, tetapi adakah pengendali itu sendiri faham dan cakna akan masalah yang melanda kem Kelantan ketika ini.

Kelantan berdepan masalah kewangan kritikal sehinggakan gaji para pemain dikatakan sudah sekurang-kurangnya dua bulan tidak dibayar, itu juga antara sebab semua pemain import mereka ‘melarikan diri’.

Mustafa Zazai masih menanti gaji tiga bulan untuk dijelaskan, Cassio pula diberitakan sudah lebih lima bulan tidak menerima gaji, pelbagai hutang piutang lama sama ada kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Perkeso mahupun pampasan/tunggakan gaji banyak yang tidak dilangsaikan.

Selain penamatan khidmat pemain import, pemain berdarah kacukan David Rowley juga angkat kaki, dengan keluarganya dihalau daripada apartment yang didiami kerana kegagalan KAFA membayar sewa.

Ramai lagi pemain muda juga sedang berkira-kira mahu angkat kaki jika dapat tawaran lain, masing-masing tidak boleh lagi bersabar dan dalam situasi mendesak seperti ini, apakah relevan Yusri Che Lah masih mahu menekan KAFA untuk mengambil import baru?

Jangan juga lupa bahawa Kelantan telah dikenakan sekatan perpindahan dan atas jasa baik Malaysia Football League (MFL), mereka boleh ambil seorang pemain baru secara bersyarat – membuktikan kepada MFL terdapat aliran tunai positif terhadap kewangan pasukan yang mana pendaftaran pemain baru tidak melebihi perbelanjaan pemain yang digugurkan.

Justeru dalam kesulitan yang dialami, jika pemain-pemain atau anggota pasukan menerima gaji sebulan yang tertunggak sekalipun sudah boleh dianggap sebagai bernasib baik, tetapi Yusri Che Lah pula berulang kali meminta KAFA untuk mendapatkan import yang sekadar akan menambah lagi beban kewangan pasukan.




Sebagai seorang jurulatih yang dikatakan mempunyai ‘bonding’ yang mantap dengan pemain muda, KAFA pastinya mengharapkan Yusri dapat menggunakan kepakaran dan pengalamannya untuk mengetengahkan pemain muda dan mendapatkan hasil yang baik daripada mereka.

Bukannya terus memberi alasan ‘kita rapuh kerana import, kita tak cukup kuat kerana tiada import’ setiap kali selepas tamat perlawanan – ia seolah-olah menampakkan sisi lemah seseorang jurulatih itu apabila dia sudah menyediakan skrip kegagalan, bukannya cuba untuk mendapatkan hasil terbaik daripada material yang dimiliki.

Kalau datang import baru sekalipun, siapa pula yang akan membayar gaji pemain itu? Adakah KAFA yang mana gaji pemain sedia ada pun mereka tidak boleh bayar?

Justeru, sangatlah menghairankan apabila Yusri Che Lah mengeluh seperti tidak memahami situasi.

Yusri juga perlu faham, sebagus mana sekalipun barisan pemain yang dimiliki, andai kebajikan tidak dijaga, gaji tidak dibayar tepat pada waktu, ianya sangat sukar untuk mereka bermain dengan motivasi tinggi dan sukar untuk mendapatkan keputusan yang terbaik.

Pokok pangkalnya, sesebuah pasukan itu bermain buruk bukan kerana anda sebagai jurulatih tidak bagus, bukan kerana barisan pemain yang ada tidak cukup berkualiti, bukan juga kerana tiadanya kelibat awang import, tetapi kerana motivasi yang terhakis sedikit demi sedikit dek kepincangan pengurusan. – foxsports