Liga Malaysia semakin mendapat perhatian di pentas antarabangsa

Wartawan bolasepak Newsufadb dari Thailand, Sorawit Wichitchote berpendapat Liga Malaysia kini berada dalam landasan terbaik untuk muncul sebagai salah satu liga terbaik di Asia Tenggara.

Sorawit yang mengikuti perkembangan Liga Malaysia dengan begitu dekat, mengakui Liga Malaysia memiliki prospek cukup tinggi dan tidak hairan jika ianya mampu bersaing dengan Liga Thailand dalam misi menjadi liga nombor satu di Asia Tenggara.



Justeru, Sorawit memuji peranan Malaysian Football League (MFL) yang memastikan Liga Malaysia berjalan lebih lancar di mana dia percaya ia bakal memberikan faedah cukup besar kepada pasukan kebangsaan negara.

“Saya fikir Liga Malaysia akan menjadi salah satu liga cukup profesional dengan memiliki pengendali liga yang baik serta sentiasa menjaga kepentingan pasukan dan liga itu sendiri.

“Saya percaya Liga Malaysia semakin mendapat perhatian di pentas antarabangsa dan saya sendiri pernah turun menyaksikan beberapa perlawanan Liga Malaysia di mana suasananya seakan hampir sama di Thailand.

“Liga yang baik disebabkan pengendali liga itu profesional. Jadi kamu harus memberikan kredit kepada pengendali liga kamu (MFL) yang sentiasa berusaha keras memastikan Liga Malaysia berjalan lancar dan ia sudah pasti memberikan kelebihan kepada pasukan kebangsaan Malaysia itu sendiri,” katanya dalam kenyataan disiarkan MFL.




Dalam perkembangan sama, Sorawit tidak menolak bahawa Liga Malaysia bakal menjadi liga tersohor di Asia pada masa akan datang.

“Percaya atau tidak, saya yakin negara-negara lain seperti Indonesia, Vietnam, Thailand dan lain-lain sudah mula memandang tinggi dengan perkembangan Liga Malaysia.

“Kini pemain-pemain dari rantau ini berlumba-lumba mahu datang ke Malaysia kerana kemajuan Liga Malaysia yang bergerak dengan semakin pantas daripada segi kualiti, penjenamaan dan imej di pentas Asia,” ujarnya.