UiTM FC sebelah kaki ke Liga Super

Selepas mengharungi 14 perlawanan, pasukan UiTM FC kini berada di puncak Liga Premier Malaysia bersama-sama pasukan simpanan Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu JDT II dengan kutipan 26 mata.

Justeru, dengan baki 6 perlawanan Liga Premier, pasukan yang dikendalikan oleh Ismail Zakaria sudah boleh menanam cita-cita untuk mara ke saingan tertinggi bola sepak tempatan iaitu Liga Super Malaysia, musim hadapan selain daripada bergelar juara divisyen dua tersebut.



Malah, hasrat untuk meraih slot beraksi di Liga Super Malaysia turut disuarakan oleh presidennya, Prof. Dr. Azizan Abdullah dalam satu kenyataan di laman berita Bernama, hari ini.

“Kita perlu menang dalam tiga lagi perlawanan untuk melonjak ke Liga Super,” katanya dalam BERNAMA.com

Selain daripada aksi yang memberangsangkan oleh The Lions Troop dengan dua pemainnya mendahului carta penjaring iaitu Zarko Korac (10 gol) dan Robert Mendy (7gol), UiTM FC dilihat berpeluang besar untuk mara memandangkan dua pasukan simpanan turut berada dalam kedudukan 4 terbaik liga, setakat ini.

Dua pasukan tersebut adalah JDT II di kedudukan kedua dan Terengganu FC II di kedudukan ke-4 dengan 23 mata. Hanya Sabah (25 mata) dan Negeri Sembilan (19 mata) menjadi pencabar terdekat mereka dengan masing-masing menghuni kedudukan ke-3 dan ke-5.




Untuk rekod, kedua-dua pasukan simpanan atau ‘feeder club’ kepada pasukan yang beraksi di Liga Super Malaysia, tidak akan mendapat promosi atau kenaikan pangkat ke Liga Super walaupun menduduki dua tangga teratas liga selepas tamat musim.

Jika layak ke Liga Super, ini merupakan satu pencapaian yang menakjubkan dan sejarah bagi pasukan yang berpengkalan di Stadium UiTM, Shah Alam semenjak penubuhannya pada tahun 2008. – foxsport