RM610 juta nilai Hazard

LONDON 29 Mei – Chelsea dilaporkan bersetuju untuk menjual Eden Hazard kepada Real Madrid dengan nilai 115 juta pound (RM61O juta) menjadikan bintang Belgium itu memperoleh 400,000 pound (RM2.1 juta) seminggu.

Khabar angin mengenai Hazard menyertai kelab gergasi Sepanyol itu bukan perkara baharu dan difahamkan pada hujung musim ini dia sudah bersedia untuk membuat keputusan terhadap masa depannya.



Hazard berada dalam perancangan jurulatih baharu Real, Zinedine Zidane yang melakukan rombakan besar-besaran terhadap skuad Los Blancos dan difahamkan kos perpindahan itu telah dipersetujui oleh pemain berusia 28 tahun itu.

“Kami mempunyai projek untuk menjadikan orang kembali menyimpan impian di mana kami mahu bangkit dan lapar akan kejayaan. Saya sudah hidup di fasa itu sebelum ini.




“Saya dapat rasakan Hazard akan tiba pada tahun ini. Mari jadikan Real sebagai pasukan hebat pada musim depan. Saya amat berminat untuk melihatnya di Real Madrid dan saya berharap dia dapat menyertai kami. Dia salah seorang pemain hebat.

“Tahun lalu kami mahukan dia namun tahun ii dia mempunyai baki kontrak selama setahun jadi itu memudahkan kami,” kata Presiden Real, Florentino Perez. – AGENSI