KFA perlu tunggu kes ‘pancing’ Akhyar

Image result for akhyar kedah

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan keputusan membabitkan dakwaan berlakunya ‘tapping up’ oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) ketika mendapatkan Akhyar Rashid.

Mesyuarat Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mendapatkan keterangan lanjut daripada kedua-dua badan induk berkenaan.



Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Mohd Joehari Ayub berkata, perkara berkenaan akan dibincang lebih lanjut pada mesyuarat akan datang.

“Jawatankuasa Status FAM membuat keputusan untuk mendapatkan keterangan lanjut daripada pihak yang terbabit berkenaan beberapa perkara yang dibangkitkan Persatuan Bolasepak Kedah.

“Kes ini akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Status yang akan datang untuk dibincang dengan lebih lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

BH Sukan sebelum ini melaporkan wakil KFA bersama pasukan peguam mereka hadir di Wisma FAM bagi menghadiri mesyuarat dengan Jawatankuasa Status FAM berkaitan isu perpindahan Akhyar ke Johor Darul Ta’zim (JDT).

KFA diwakili Naib Presiden 1, Anas Hafiz Mustaffa dan Setiausaha Eksekutif, Shahrul Samsudin manakala Jawatankuasa Status FAM diwakili pengerusinya Joehari namun JDT tidak menghantar wakil mereka.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Selangor, B Sathianathan bakal menerima ‘duit raya’ daripada bekas majikannya berhubung tunggakan ‘signing fees’ dan juga elaun perumahan.




“Tuntutan pengadu (Sathianathan), sudah diterima sebahagiannya dan FELDA United FC dikehendaki membayar tunggakan baki pembayaran ‘signing fees’ dan tunggakan elaun perumahan dalam masa 30 hari daripada tarikh penerimaan keputusan ini,” katanya.

Keputusan kes lain menyaksikan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) diminta melunaskan tuntutan tiga bekas pemainnya, Mohd Daudsu Jamaluddin (RM33,000), Norhafiz Zamani Misbah (RM87,500) dan Zairul Fitree Ishak (RM52,500).

“Tuntutan pengadu sudah diterima sepenuhnya dan Persatuan Bolasepak Kelantan dikehendaki membayar tunggakan gaji seperti jumlah dinyatakan (tertakluk kepada potongan wajib pendapatan) dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan keputusan ini,” katanya. – BHarian