Pengorbanan Salah berbaloi

MADRID: Mohamed Salah puas dapat beraksi penuh dalam kemenangan 2-0 Liverpool ke atas Tottenham pada final Liga Juara-Juara, susulan kecederaan pada peringkat sama ketika menentang Real Madrid tahun lalu.

Bintang Mesir itu terpaksa dikeluarkan pada babak pertama final tahun lalu selepas bahunya cedera, dan dia menyaksikan Liverpool tewas 3-1 dari luar padang.



“Semua orang gembira sekarang, saya bangga dapat beraksi di final kedua berturut-turut dan akhirnya bermain 90 minit penuh,” kata Salah.

“Semua orang melakukan yang terbaik hari ini, tidak ada persembahan individu hari ini, seluruh pasukan menakjubkan.”

Salah meledak gol kedua terpantas dalam final Liga Juara-Juara, menyempurnakan sepakan penalti dalam tempoh kurang dua minit selepas sepak mula susulan bola terkena tangan Moussa Sissoko.

Mohamed Salah (kanan) bersaing dengan pemain Tottenham, Moussa Sissoko pada aksi final Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. – Foto EPA




Mohamed Salah dihalang pemain Tottenham Hotspurs, Harry Winks pada final Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. – Foto REUTERS

“Saya banyak berkorban untuk karier saya, dari kampung ke Kaherah, dan menjadi rakyat Mesir pertama beraksi di peringkat ini sukar untuk saya percayai,” katanya.

Divock Origi, yang meledak gol kemenangan ke atas Barcelona dalam kebangkitan epik di separuh akhir, mengesahkan kemenangan tiga minit sebelum tamat permainan.

“Ini adalah saat yang tidak akan saya lupakan, ia saat yang hebat untuk kelab dan juga kota,” kata Origi. – AFP