Padang bukan alasan gagal jaring lebih gol – Safawi

Image result for safawi nepalKUALA LUMPUR – Penyerang negara, Safawi Rasid tidak mahu menjadikan keadaan padang Stadium Nasional, Bukit Jalil yang kurang memuaskan sebagai faktor kegagalannya membolosi pintu gol Nepal dengan lebih banyak dalam perlawanan persahabatan antarabangsa, kelmarin.



Menganggapnya sebagai bukan rezeki dalam corak permainan terbuka, pemain kidal itu tetap menebus kehampaan dengan jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-50, sebelum tendangan bebasnya mendorong Shahrul Saad menanduk masuk gol kedua pada minit ke-82 untuk membenam Nepal 2-0.

Satu gol menerusi sepakan bola mati itu turut melebarkan koleksi jaringan antarabangsanya sejak menggegar gawang sewaktu mengikat Vietnam 2-2 dalam perlawanan akhir pertama Piala AFF di Bukit Jalil, Disember tahun lalu.

“Mungkin bukan rezeki saya, walaupun dapat banyak peluang gol. Saya kena teruskan usaha dan tajamkan penyudah di depan pintu gol dalam latihan selepas ini.

“Keadaan padang memang menjejaskan banyak umpanan ke hadapan gol lawan, tetapi itu bukanlah alasan utama, saya harap apabila menentang Timor Leste (Jumaat ini), kita akan dapat padang dalam keadaan yang terbaik,” katanya.

Harimau Malaya yang dibimbing Tan Cheng Hoe, akan melayani kunjungan Timor Leste dalam pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di padang sama, Jumaat ini dan pada 11 Jun.




Safawi turut menagih komunikasi dan kombinasi pasukan digilap dalam sesi latihan selepas ini kerana Timor Leste tidak boleh sesekali dianggap lawan yang mudah diratah biarpun rekod pertemuan lalu menyebelahi Malaysia.

“Kami kena tingkatkan keserasian dalam latihan. Bukan mudah lawan Timor Leste, jadi kenalah bersedia dari sekarang,” kata pemain sayap kanan berusia 22 tahun kelahiran Dungun, Terengganu itu.

Sementara itu, Cheng Hoe memuji prestasi Syafiq Ahmad yang bekerja keras berlari hampir di segenap padang, sekali gus membayangkan masa depan dan petanda yang cerah buat skuad negara.

“Kedua-duanya amat konsisten dalam Liga Super dan pasukan negara. Syafiq sentiasa ada di mana-mana kawasan padang dan bekerja keras. Saya harap mereka kekalkan semangat ini kerana bawa petanda baik kepada pasukan kita,” ujarnya. – UTUSAN