Figo, Pires, Roberto Carlos bakal gegar Larkin

JOHOR BAHRU: Hubungan baik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan beberapa bekas pemain ternama dunia bakal menyaksikan satu perlawanan amal akan diadakan di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin pada 30 Jun ini.

Menerusi kenyataan rasmi di laman JOHOR Southern Tigers, Tunku Ismail mengumumkan perlawanan itu bakal menampilkan lebih dari 10 bekas pemain bola sepak terkemuka dari seluruh dunia yang akan beraksi di stadium keramat kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).



Antara pemain yang akan membuat penampilan adalah bekas bintang Portugal, Luis Figo, bekas bintang Brazil, Roberto Carlos dan Bebeto selain kelibat bekas bintang Argentina, Claudio Caniggia, bekas bintang Itali, Marco Materazzi dan bekas bintang Perancis, Robert Pires.

“Saya amat teruja untuk mengumumkan bahawa satu perlawanan amal `All-Star’ membabitkan barian pemain Rest of The World XI dan Pilihan JDT akan diadakan di Larkin (Stadium Larkin).

“Perlawanan itu bakal menampilkan bekas pemain terkemuka dari seluruh dunia termasuk Figo, Roberto Carlos, Bebeto, Caniggia, Materazzi dan Pires akan beraksi dalam perlawanan yang akan diadakan pada 30 Jun ini,” kata Tunku Ismail dalam kenyataan itu.




Tunku Ismail berkata, semua kutipan bagi perlawanan amal itu akan disumbangkan kepada Yayasan Tunku Laksama Johor, Persatuan Kanser Kebangasaan Malaysia (MAKNA) dan Women’s Aid Organisation (WAO).

“Selain itu peminat bola sepak yang meminati bekas bintang bola sepak dunia yang pernah mewarnai kancah bola sepak antarabangsa berpeluang mendapatkan tandatangan bekas pemain terkemuka itu dan sesi bergambar akan turut diadakan,” kata Tunku Ismail.