Saya tidak iri hati dengan rakan – Sumareh

Image result for sumareh vs timor leste

KUALA LUMPUR – Pemain sayap negara, Mohamadou Sumareh tidak pernah menaruh perasaan iri hati dengan rakan sepasukan sekiranya digantikan atau tidak diturunkan dalam perlawanan kedua pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022-Piala Asia 2023, Selasa ini.



Katanya, semua anggota pasukan Harimau Malaya ibarat sebuah keluarga dan mereka sentiasa berpegang teguh kepada semangat kerja sepasukan malah segalanya yang dilakukan adalah untuk negara.

“Tiada langsung saya hendak iri hati jika begitu (ditukarkan dengan pemain lain seperti Jumaat lalu). Kami sudah mendahului 4-1 ketika itu dan yang masuk itu berjaya menjaringkan gol pula (sehingga menjadikan Malaysia membelasah Timor Leste 7-1)

“Saya gembira untuknya dan meraikan gol dan kemenangan bersama pasukan. Tidak perlu kami sesama pemain untuk menjatuhkan moral sesiapa pun dalam pasukan yang ibarat sebuah keluarga saya.

“Segala yang kami lakukan adalah untuk negara,” kata pemain kelahiran Gambia ini ketika ditanya kemungkinan direhatkan bagi perlawanan kedua dengan Timor Leste di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini memandangkan kedudukan selesa Harimau Malaya itu.




Sementara itu rakan sepasukan, Akram Mahinan berkata, walau siapa pun pilihan ketua jurulatih, Cheng Hoe dalam barisan utama nanti, perlu meningkatkan prestasi pasukan dan menjadikannya persediaan dan pengalaman ke arah pusingan berikutnya.

“Jurang sesama pemain utama dan simpanan negara kini tidak begitu besar dan boleh dikatakan tidak banyak bezanya. Yang penting siapa pun jadi pilihan utama, kena berikan komitmen tinggi dan 100 peratus dalam perlawanan itu,” jelasnya.

Tanpa berniat memperlekehkan kemampuan Timor Leste yang dibimbing jurulatih Jepun, Cheng Hoe juga dikatakan menguji gandingan Akhyar Rashid dan Shahrel Fikry Md. Fauzi di bahagian hadapan yang masing-masing menyumbangkan ‘Kenduri Gol Rumah Terbuka Raya’, Jumaat lalu.

Penjaga gol simpanan, Ifwat Akmal Chek Kassim turut dianggap calon terbaik mengambil alih posisi Farizal Marlias yang tewas dengan gol tunggal Rising Sun selain mungkin penyerang tunggal, Norshahrul Idlan Talaha direhatkan kali ini. – UTUSAN ONLINE