Masih ada 90 minit – Safawi

KUALA LUMPUR – Penyerang sensasi negara, Safawi Rasid enggan men­dabik dada meskipun berjaya membantu skuad Harimau Malaya meraih kemenangan bergaya 7-1 ke atas Timor Leste pada aksi ‘playoff’ pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jumaat lalu.

Pada aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur tersebut, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menjadi wira buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe apabila meledak dua gol, sekali gus meletakkan Malaysia sebelah kaki pada saingan sebenar kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.




Namun, Safawi menyeru rakan-rakan sepasukan untuk melipat gandakan usaha kerana saingan masih berbaki 90 minit menjelang aksi menentang Timor Leste sekali lagi pada pusingan playoff kedua di venue sama malam esok.

“Saya gembira dapat memberi sumbangan positif buat rakan-rakan sepasukan pada aksi pertama tetapi secara peribadi, saya rasa masih banyak ruang boleh diperbaiki memandangkan saya gagal menyempurnakan sepakan penalti.

“Namun, saya mahu jadikan kesilapan-kesilapan tersebut sebagai satu pe­ngajaran dan apa yang pen­ting ialah bekerja lebih keras pada sesi latihan kerana saya percaya boleh beraksi lebih baik.





“Apa yang pasti, saingan masih berbaki 90 minit dan kami tidak boleh mengambil mudah kerana dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku. Cuma, jika kami dapat mengekalkan intensiti sama, saya percaya satu lagi kemenangan positif dapat dilakarkan,” katanya kepada pemberita kelmarin.

Kemenangan positif Harimau Malaya ke atas skuad kendalian Norio Tsukitate adalah yang kedua berturut-turut bagi aksi antarabangsa­ bulan ini selepas turut berjaya menewaskan Nepal 2-0 pada perlawanan persahabatan minggu lalu.

Andai berjaya meloloskan diri, pasukan Malaysia akan diundi masuk pada peringkat kumpulan untuk mengharungi pusingan kelayakan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang dijadual­kan bermula pada September depan. – K! ONLINE