Copa America: Messi harapan Argentina akhiri kemarau

Pada usia 31 tahun, Lionel Messi belum pernah mengecapi nikmat

RIO DE JANEIRO 11 Jun – Menjelang bermulanya kempen Piala Copa America 2019 hujung minggu ini, Argentina antara pasukan yang paling menjadi perhatian untuk membuktikan sama ada mereka mampu mengakhiri kemarau trofi selama lebih sedekad atau pun tidak.



Dengan harapan tinggi diletakkan kepada Lionel Messi, Argentina dilihat cukup terdesak untuk melakukannya kali ini selepas beberapa kali kecewa di kejohanan sama sebelum ini dan juga di Piala Dunia.

Tanpa sebarang trofi bersama skuad kebangsaan Argentina, karier Messi yang sudah mencapai usia 31 tahun tidak akan lengkap walaupun sudah merangkul pelbagai trofi di peringkat kelab Eropah bersama Barcelona seperti empat gelaran Liga Juara Juara dan 10 gelaran La Liga.




“Saya kalau boleh mahu mengakhiri karier dengan memenangi sesuatu bersama skuad kebangsaan atau sekurang-kurangnya cuba meraih seberapa banyak yang boleh,” kata Messi sebelum ini.

Dengan masa yang semakin suntuk akibat faktor usia, Messi bukan tidak pernah mencuba sebaliknya pernah membawa Argentina empat kali ke final termasuk di dua Piala Copa 2015 dan 2016 sebelum tewas kedua-duanya kepada Chile.

Paling memeritkan ialah apabila Argentina tewas kepada Jerman di final Piala Dunia 2014 sehingga menyaksikan Messi mengumumkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa selepas itu.

Messi bagaimanapun keluar daripada persaraan itu selepas dipujuk untuk membantu Argentina mengharungi kempen Piala Dunia 2018 di Rusia tetapi terus hampa apabila kecundang 3-4 kepada Perancis di pusingan kedua. – AFP