Estonia bukan cabaran sebenar Jerman

MAINZ – Marco Reus mengingatkan rakan sepasukannya untuk tidak terlalu gembira dengan kemenangan 8-0 ke atas Estonia dalam aksi kelayakan Euro 2020.



Estonia bukan tandingan sebenar Jerman dan mereka dilihat mudah meraih kemenangan ketiga bagi aksi Kumpulan C sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan.

“Ini bukan penanda aras sebenar kami.

“Paling penting kami dapatkan semula rentak permainan dan mencari keserasian semasa di atas padang selain perlu kekal realistik,” kata Reus.

Sementara itu, Manuel Neur berkata, pasukannya boleh berbangga dengan persembahan ketika mendominasi perlawanan menentang Estonia.

Pesta gol bermula seawal minit ke-10 apabila Ilkay Gundogan memulakan gerakan sebelum Reus membuka tirai jaringan




Gundogan sekali lagi mengumpan bola untuk gol kedua menerusi Serge Gnabry sebelum Leon Goretzka menjadikan kedudukan 3-0 selepas menyempurnakan hantaran Joshua Kimmich.

Gol keempat hadir menerusi sepakan penalti Gundogan selepas Goretzka dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Joonas Tamm.

Pada minit ke-37 bintang Borussia Dortmund Reus sekali lagi menemui sasaran dengan sepakan percuma dari jarak 20 meter.

Gnabry meledak gol keduanya pada minit ke-62, diikuti jaringan pemain gantian Timo Werner dan Leroy Sane.

Sane sebelum itu menyaksikan dua jaringannya dibatalkan pengadil kerana ofsaid.

Untuk perlawanan seterusnya Jerman akan bertemu Belanda di Hamburg pada 6 September. – AFP