Pahang enggan putih mata di Darul Aman

KUANTAN: Pahang yang hanya dipisahkan empat mata dengan Kedah akan memastikan kunjungan skuad itu ke Stadium Darul Aman, malam ini, berakhir dengan kegembiraan.

Ketika ini, skuad kendalian Dollah Salleh berada di tangga kedua Liga Super dengan 26 mata, manakala skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak menduduki tangga ketiga dengan mengutip 22 mata.



Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan mahu anak buahnya fokus sepanjang 90 minit perlawanan dalam usaha membawa pulang tiga mata.

“Saya mengharapkan semua pemain memanfaatkan segala peluang yang ada untuk membolosi gawang tuan rumah.

“Oleh itu, jentera serangan diketuai gandingan Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kaimbi dapat memberi tekanan kepada pertahanan lawan.




“Penampilan pertama Kaimbi diharap membantu Pahang meraih kemenangan pertama sebaik saingan liga bersambung,” katanya.

Pada pusingan pertama saingan liga itu, skuad Tok Gajah menewaskan skuad Lang Merah 1-0 hasil jaringan pemain tengah, Zuhair Aizat Mohd Nazri.

Namun, pada perlawanan malam esok, skuad Tok Gajah tidak dapat menagih khidmat tiga pemain utama yang digantung satu perlawanan selepas mengutip tiga kad kuning.

Mereka adalah dua pemain pertahanan, Herold Goulon dan Mohd Faisal Rosli serta pemain tengah, Mohamadou Sumareh.