Copa America: Colombia benam Argentina

SALVADOR, Brazil: Lionel Messi berkata pasukannya dipalit duka selepas Argentina tunduk 2-0 kepada Colombia dalam aksi pembukaan Copa America 2019 sekali pun mendominasi babak kedua perlawanan.

Gol daripada pemain gantian, Roger Martinez dan Duvan Zapata dalam tempoh 20 minit sebelum permainan berakhir memberikan Colombia kemenangan sulung terhadap Argentina dalam tempoh 20 tahun di pentas Copa America.



“Kami meninggalkannya dengan kepahitan,” kata Messi dengan kekalahan menyempitkan peluang Argentina untuk menamatkan kemarau kemenangan di kejohanan utama sejak 26 tahun. “Pada babak kedua, kami memperoleh peluang.”

Salah satu peluang terbaik turut dibazirkan oleh bintang Barcelona itu apabila tandukannya di depan gawang Colombia meliar sekali pun penjaga gol David Ospina sudah pun tertewas selepas menampan tandukan Nicolas Otamendi.




Sekali pun lebih mendominasi perlawanan dan mencipta lebih peluang pada separuh masa kedua, Argentina gagal mencetuskan banyak masalah terhadap Ospina.

“Jelas, kami tidak mahu memulakannya seperti ini, tetapi kami perlu kembali bangkit dan meneruskannya,” kata pemenang lima kali Ballon d’Or itu yang bergandingan dengan penyerang Manchester City, Sergio Aguero dan Angel Di Maria di bahagian serangan Argentina.

“Pada babak pertama, kami sedikit bertahan tetapi pada babak kedua, kami benar-benar menyerang. Setiap kali kami kalah, ia sentiasa sukar bagi kami. Tetapi kami perlu berfikir mengenai Paraguay pula,” kata Messi yang turut memakai lilitan kapten.

Argentina masih berpeluang untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati jika meraih kemenangan ke atas Paraguay dan juara Asia, Qatar. – AFP