Siapa lawan Harimau Malaya?

LAWAN yang bakal ditentang Harimau Malaya dalam pusingan kedua

KUALA LUMPUR – Laluan skuad Harimau Malaya ke saingan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 akan diketahui bulan depan apabila undian pusingan kedua kelayakan diadakan di Ibu Pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Bukit Jalil, di sini, pada 17 Julai ini.



Menurut kaedah undian dikeluarkan oleh AFC hari ini, sebelum undian bermula Malaysia diletakkan dalam balang empat bersama Turkmenistan, Myanmar, Hong Kong, Yemen, Afghanistan, Maldives dan Kuwait.

Pemilihan pasukan untuk undian berkenaan adalah berdasarkan ranking terbaru FIFA yang dikeluarkan Jumaat lalu serta pasukan yang layak daripada pusingan pertama kelayakan iaitu Bangladesh, Kemboja, Guam, Malaysia dan Mongolia.

Bagaimanapun, keputusan pusingan pertama kelayakan antara Macau dan Sri Lanka belum ditentukan selepas Macau enggan bermain pada perlawanan timbal balik di Colombo kerana kebimbangan tahap keselamatan di venua tuan rumah.

Macau mengatasi Sri Lanka 1-0 pada perlawanan pertama di Zhuhai di selatan China pada 6 Jun lalu.

Pada pusingan kedua kelayakan, 40 pasukan iaitu pasukan yang berada di ranking satu hingga 34 Asia serta enam pasukan yang menang di pusingan pertama akan dibahagikan kepada lapan kumpulan.

Perlawanan pusingan kedua kelayakan dijadual mulai 5 Sept ini hingga 9 Jun 2020 dan akan dijalankan secara timbal balik.




Hanya juara kumpulan dan empat pasukan naib juara yang terbaik akan mara ke pusingan kletiga kelayakan Piala Dunia 2022 di Qatar dan layak layak secara automatik ke Piala Asia 2023 di China.

Manakala baki pasukan yang lain akan beraksi dalam saingan kelayakan Piala Asia 2023 bagi mengisi slot 24 pasukan pada kejohanan tersebut.

Malaysia layak ke pusingan kedua kelayakan selepas menewaskan Timor Leste dengan agregat 12-2 selepas mencatatkan kemenangan 7-1 pada perlawanan pertama dan 5-1 pada perlawanan kedua. – BERNAMA

Pasukan Dalam Lima Balang Sebelum Undian:

1: Iran, Jepun, Korea Selatan, Australia, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, China.

2: Iraq, Uzbekistan, Syria, Oman, Lubnan, Republik Kyrgyz, Vietnam, Jordan.

3: Palestin, India, Bahrain, Thailand, Tajikistan, Korea Utara, Taiwan, Filipina

4: Turkmenistan, Myanmar, Hong Kong, Yemen, Afghanistan, Maldives, Kuwait, MALAYSIA.

5: Indonesia, Singapura, Nepal, Kemboja, Bangladesh, Mongolia, Guam, Macau/Sri Lanka.