[VIDEO] Chile malukan Jepun

Japan's Takefusa Kubo, left, and Chile's Arturo Vidal, compete for the ball during a Copa America Group C soccer match at the Morumbi stadium in Sao Paulo, Brazil, Monday, June 17, 2019. (AP Photo/Nelson Antoine)

SAO PAULO: Eduardo Vargas meledak dua gol ketika Chile memulakan kempen mempertahankan Copa America 2019 dengan kemenangan besar 4-0 terhadap Jepun, pagi tadi.



Vargas, yang beraksi bersama kelab Mexico, Tigres UANL, menyumbat dua gol pada babak kedua dengan Chile membuktikan kepada Jepun, yang beraksi selaku pasukan jemputan dari Asia mengenai kekuatan mereka sebagai penyandang juara.

Erick Pulgar membuka tirai jaringan pada penghujung babak pertama sebelum Vargas menambah kelebihan pada babak kedua dan melengkapkan gol keempat peribadi pada penghujung perlawanan.

Penyerang Manchester United, Alexis Sanchez meningkatkan jumlah jaringannya bersama Chile kepada 42 dengan menanduk gol ketiga pada minit ke-82.

Kemenangan ke atas naib juara Asia itu menyaksikan Chile berkongsi kedudukan teratas Kumpulan C bersama Uruguay yang turut mencatat kemenangan 4-0 ke atas Ecuador, semalam.

Kekalahan 4-0 jelas sukar buat Jepun, yang tiba dengan skuad berkualiti tetapi kurang pengalaman dengan beberapa peluang terbaik disia-siakan terutama daripada penyerang muda, Ayase Ueda.




Jepun memulakan permainan dengan yakin, mendominasi perlawanan dan menguasai bola tetapi gagal memberi ancaman terhadap gawang Chile yang dikawal Gabriel Arias.

Berpunca daripada sepakan sudut pemain Bayer Leverkusen, Charles Aranguiz, Chile membuka tirai jaringan pada minit ke-41 sebelum Vargas menyumbat gol kedua pada minit ke-54 menerusi sepakan dari luar kotak penalti.

Ketika Jepun terus terlepas beberapa peluang menjaringkan gol, Chile menambah derita apabila Sanchez menyumbat gol ketiga pada minit ke-82 sebelum Vargas melakukan kuisan menarik untuk menewaskan penjaga gol Jepun, Keisuke Osako buat kali keempat, seminit kemudian. – AFP