Jika menang besar, kami mungkin akan lakukan kesilapan seperti Barcelona – Aidil Sharin

Image may contain: 4 people, outdoor

Bermain lima perlawanan dalam masa 15 hari pastinya meletihkan buat pemain dan ianya bergantung kepada seorang ketua jurulatih bagaimana untuk menguruskannya.

Itulah yang dilakukan oleh ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak dalam kemenangan 1-0 mereka ke atas Felda United bagi separuh akhir pertama Shopee Piala FA 2019 di Stadium Darul Aman. Kedah berjaya menewaskan Felda menerusi sepakan penalti Fernando Rodriguez pada minit ke-69.



“Saya perlu merehatkan beberapa pemain kerana ianya tidak mudah untuk beraksi lima perlawanan dalam 15 hari. Inilah masanya kami perlu gunakan sebaiknya beberapa pemain kami. Mungkin kami akan lakukan pertukaran dalam perlawanan seterusnya juga kerana kami perlu kekalkan kecergasan dalam setiap perlawanan.

Hari ini kami bermain menentang pasukan yang kuat berjuang seperti Felda United di atas padang yang basah. Ianya tidak mudah tetapi kami perlu uruskan sebaiknya,” kata Aidil dalam sidang media selepas perlawanan.




Mungkin ada penyokong Kedah yang tidak begitu gembira Kedah hanya menang 1-0, tetapi bagi Aidil, keputusan itu akan mengelakkan pasukannya terlalu selesa ketika bertandang ke Jengka pada hari Sabtu depan.

“Saya gembira dengan kemenangan ini biarpun hanya 1-0. Anda boleh menang 3-0 tetapi jika kami ke sana dengan minda yang terlalu selesa, kita lihat seperti apa yang berlaku kepada Barcelona dan banyak pasukan besar. Ianya bagus untuk kami hanya menang 1-0 kerana kami akan berwaspada dan pergi sana dengan minda yang positif dan bukan terlalu yakin. Itu penting untuk pemain-pemain faham bahawa ini bukan mudah dan cuba menang di sana.”

Sebelum berdepan Felda United, Kedah akan menerima kunjungan Petaling Jaya City di Darul Aman terlebih dahulu pada hari Rabu nanti.