Peminat Kedah beri sebab tak datang stadium

Image may contain: 15 people, people standing and outdoor

Perlawanan di antara Kedah dan Petaling Jaya City Football Club (PJ City FC) di Alor Setar, semalam, menyaksikan satu fenomena yang agak janggal. Stadium Darul Aman yang sebelum ini sering dibanjiri oleh penyokong setia Hijau Kuning kelihatan sunyi sepi.


Lebih kurang sejam sebelum sepak mula, laman Facebook Kedah FA, memuat naik satu ‘posting’ dengan memaklumkan jualan tiket sehingga jam 7 malam hanya terjual sekitar 1000 keping sahaja.

Perlawanan yang diadakan pada pertengahan minggu mungkin menjadi faktor utama kepada ketidakhadiran penyokong-penyokong ke Stadium Darul Aman, semalam. Namun, hasil tinjauan kami di ‘posting’ berkenaan menyangkal tanggapan itu sama sekali.

Penyokong Kedah menzahirkan mengenai ketidakpuasan hati mengenai taktikal dan corak permainan oleh pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak serta prestasi kurang memberangsangkan pemain-pemain import sebagai alasan mereka mula tawar hati untuk turun ke stadium dan memberikan sokongan kepada pasukan Helang Merah.

Salah seorang kalangan peminat Kedah berkata, “Corak permainan Kedah sekarang membosankan lepastu prestasi tak konsisten pulak.. Tingkatkan corak permainan, inshaAllah penyokong pasti akan ke stadium..” kata Na Ra.

Perkara itu turut diakui oleh Helmi Jawi yang memberikan komen di ‘posting’ tersebut, katanya “Corak permainan tak syok, hambar.. Dapat bola tahu nak lambung, ‘cross’ ja.. Tak dak identiti dalam bola.. Pemain import pun tak ngam..”




“Import tak setaraf macam sebelum ni.. Taktikal, rasanya semua peminat tak puas hati.. Yang tak reti main bola pun boleh menilai permainan Kedah cantik atau tidak. Dari awal musim sampai nak habis musim duk main lambung, ligan, lambung, ligan. Tengok pun tak syok. Kedah lebih sesuai main ‘short pass’. Itu sahaja penyokong nak. Permainan cantik stadium pun penuh.” tulis Fendy Ahmad pula.

Beberapa kalangan peminat Kedah turut menafikan mengenai faktor kewangan yang menghalang mereka daripada turun memenuhi stadium yang mampu memuatkan lebih kurang 30,000 penonton pada satu-satu masa.

“Harga tiket bukan jadi pemasalahan.. corak permainan yang ditampilkan menyakiti hati.. jika kualiti permainan ditambah baik mungkin stadium akan kembali penuh seperti tahun 2007, 2008, 2009.” kata Halim Mtisa.

“Sedih tengok stadium kosong sedangkan Kedah bukan di dasar liga. Kekosongan stadium bukan faktor kewangan penyokong tetapi hakikatnya undang-undang stadium terlalu ketat dan taktikal permainan pun tak menarik. Termasuk pembelian import yang tiada kualiti. Seperti Rodriguez.” kata seorang lagi peminat Helang Merah di ruangan komen, Zulkefli Hamzah.

Untuk rekod, perlawanan di antara Kedah dan PJ City FC itu berkesudahan dengan keputusan 3-2 memihak kepada Kedah. Dan jumlah penonton yang direkodkan hadir ke Stadium Darul Aman, semalam adalah seramai 2850 orang sahaja – Foxsport