[Video] Benam Venezuela, Messi anggap Argentina dan Brazil sama kuat

RIO DE JANEIRO: Lionel Messi berkata Argentina akan berdepan tuan rumah Brazil dengan kekuatan seimbang pada separuh akhir Copa Amerika selepas menewaskan Venezuela 2-0 awal pagi tadi.



Lautaro Martinez dan Giovani Lo Celso menjaringkan gol untuk kemenangan suku akhir Argentina di Stadium Maracana.

Ia adalah persembahan terbaik Argentina di kejohanan kali ini selepas bermula hambar dengan kekalahan 2-0 di tangan Colombia dan seri 1-1 menentang Paraguay.

“Sukar untuk meletakkan siapa pasukan pilihan antara Argentina dan Brazil, apatah lagi dalam Copa Amerika di mana sesiapa saja boleh menewaskan sesiapa,” kata bintang Barcelona berusia 32 tahun itu menjelang pertembungan separuh akhir di Belo Horizonte.





“Kami menghormati mereka, kami sedar apa yang diwakili Brazil. Kami berada pada prestasi terbaik untuk menentang Brazil, tetapi kami perlu tampil lebih fokus.”

Messi bagaimanapun mengaku prestasinya secara individu tidak pada tahap terbaik tetapi sebagai pasukan, mereka lengkap ketika menentang Venezuela.

Sementara itu pengendali Venezuela Rafael Dudamel berkata kempen pasukannya di Copa meletakkan mereka di landasan terbaik untuk layak ke Piala Dunia 2022 di Qatar.

“Apa yang menanti lebih mencabar dan kami membentuk pasukan yang cukup berdaya saing di Copa Amerika, kami perlu meneruskannya,” kata Dudamel. – AFP