[Video] Kedah perlu diperbaiki kelemahan – Aidil

MARAN – Skuad Kedah perlu memperbaiki prestasi di atas padang bagi mengelak senario sama berulang ketika tewas 2-3 kepada Felda United di Stadium Tun Abdul Razak Jengka di sini, semalam.



Ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak berkata berdasarkan pemerhatian, skuad kendaliannya itu hanya berjaya mendominasi pada separuh masa pertama sebelum berpihak kepada pasukan tuan rumah di babak kedua.

“Alhamdulillah, tahniah diucapkan kepada pemain saya dan pasukan Felda United yang telah memberikan kita satu perlawanan sukar. Kita menguasai separuh masa pertama tetapi segalanya berubah apabila pihak lawan berjaya menjaringkan gol pertama mereka.

“Kamu boleh lihat Thiago Junio naik ke atas dari bawah untuk memberi masalah kepada kami…ada dua pemain yang benar-benar mengancam benteng pertahanan kita iaitu Thiago dan Muhammad Hadin,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam tadi.




Aidil Sharin mengakui secara keseluruhan, persembahan anak buahnya masih memerlukan penambahbaikan menjelang perlawanan akhir menentang Perak.

Katanya, usaha dan komitmen pasukan perlu dilipatgandakan untuk memperbaiki prestasi pasukan menjadi lebih baik.

PEMAIN Kedah, Farhan Roslan melompat kegembiraan meraikan jaringan Sementara itu, pengendali Felda United, Mohd Nidzam Jamil berkata jaringan penalti diperoleh Kedah pada awal permainan menyukarkan mereka untuk menyaingi pasukan pelawat itu.

“Kita perlu sedar kesannya apabila kita bolos di tempat lawan, apabila mereka jaring satu gol kita perlu hasilkan tiga gol di tempat sendiri, jika bolos dua gol kita perlu hasilkan empat gol.

“Kita tidak boleh menjangkakan Kedah bermain seperti pasukan bawahan kerana mereka berpengalaman, jadi kita perlu banyak bertahan di samping melancarkan serangan.

“Apapun saya terkilan apabila gagal mara ke final Piala FA kerana saya percaya kami boleh melakukannya walaupun orang lain tidak percaya,” katanya.

Mohd Nidzam berkata beliau bagaimanapun menyedari pemain kendaliannya sudah memberikan persembahan terbaik dengan menterjemahkan kemenangan 3-2 ke atas Kedah walaupun tidak melangkah ke final.

“Ini pengalaman semi final Piala FA yang pertama kami…dengan dibarisi majoriti pemain muda, saya percaya Felda United mampu pergi lebih jauh pada masa hadapan,” katanya. – BERNAMA