Messi, Aguero perlu kerja keras

LIONEL MESSI dan Sergio Aguero perlu bekerja keras untuk menghasilkan

BELO HORIZONTE – Lionel Messi dan Sergio Aguero perlu bekerja keras untuk menembusi benteng pertahanan kental Brazil dalam aksi separuh akhir Copa America, kata penyerang Selecao, Gabriel Jesus.

Tuan rumah masih belum dibolosi sebarang gol dalam empat perlawanan Copa America manakala Argentina menunjukkan peningkatan dengan dua perlawanan terakhir tanpa bolos.


Jesus menjangkakan perlawanan sengit di Belo Horizonte, awal pagi esok dengan pertahanan pasukannya tidak akan memberi sebarang ruang kepada penyerang Argentina.

“Sukar untuk menembusi benteng pertahanan dengan rekod bersih.

“Sudah lama kami tidak dibolosi. Penting untuk ada pertahanan kental seperti ini.

“Bukan mudah untuk Argentina melepasi kami. Jelas sekali mereka ada Messi, pemain terbaik dunia dan Aguero, antara penyerang terbaik tetapi mereka perlu bekerja keras untuk perlawanan ini,” katanya.




Jesus berkata, dia tidak sabar untuk ‘bergurau’ bersama rakan sepasukannya di Manchester City, Aguero dan Nicolas Otamendi selepas tamat perlawanan.

Perlawanan di antara Brazil dan Argentina merupakan perlawanan yang dinanti-nantikan.

Brazil memiliki rekod cemerlang dengan lima kejuaraan dalam Piala Dunia manakala Argentina yang memiliki dua kejuaraan lebih cemerlang dalam Copa America dengan rekod 14 juaraan berbanding Brazil yang hanya ada lapan kejuaraan.

Sekiranya Argentina muncul juara edisi kali ini, mereka akan menyamai rekod Uruguay dengan 15 kejuaraan.-AFP