MFL ambil pendapat penyokong perkasa hak penyiaran

PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) turut mengambil pendapat daripada penyokong membabitkan mekanisme untuk memperkasakan struktur baharu hak penyiaran pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang bakal diperkenalkan pada musim depan.

Selaras dengan itu, seramai 15 penyokong tegar sejumlah pasukan hadir ke ibu pejabat MFL di Damansara bagi mendapatkan maklumat terperinci daripada Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam dan Ketua Pegawai Eksekutif Enervive Group of Companies, Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid.

Bagi penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT), Nizar Irman merasakan pengstrukturan hak penyiaran itu akan memberikan kesan baik kepada Liga M.

“Saya dapati ini adalah satu progresif yang positif untuk menjana pasukan dalam Liga M dan ia juga memberikan peluang kepada penyokong tempatan untuk menyumbang kepada pasukan mereka.

“Ini adalah struktur baharu yang saya rasa sangat positif dan berpotensi untuk pergi lebih jauh. Saya berpendapat potensi itu ada dan persepsi boleh dimanfaatkan pasukan serta penyokong. Saya sangat positif pendekatan ini boleh berjaya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, seorang lagi peminat Liga Malaysia, Hermy Rahim optimis MFL berada dalam landasan tepat.

“Apa yang MFL lakukan sekarang adalah sesuatu yang bagus, sekurang-kurangnya saya memahami lebih jelas dan mungkin saya tidak perlu persoalkan pada masa akan datang berhubung struktur baharu hak penyiaran pasukan.

“Mungkin pengetahuan ini masih belum sampai kepada penyokong lain tetapi saya percaya MFL akan memastikan mesej ini akan disampaikan,” katanya.