Enam mata wajib jadi sasaran Harimau Malaya dalam dua perlawanan seterusnya

Selepas tiga perlawanan, Malaysia kini berada di tangga kelima Kumpulan G selepas mengutip tiga mata daripada tiga perlawanan.


Kekalahan 1-0 kepada Vietnam pada 10 Oktober lalu sedikit mengganggu rentak skuad kebangsaan selepas menunjukkan prestasi baik dalam perlawanan mereka sebelum ini termasuk ketika tewas 2-1 kepada Emiriah Arab Bersatu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada bulan September lalu.

Misi seterusnya buat Malaysia adalah berdepan Thailand dan Indonesia di laman sendiri dan jika Harimau Malaya mahu terus kekal bersaing, mereka perlu menang dalam dua perlawanan ini. Thailand selaku pendahulu kumpulan pastinya akan memberikan kesukaran buat Malaysia, terutamanya selepas mereka berjaya menewaskan Emiriah Arab Bersatu 2-1. Skuad Gajah Perang kendalian Akira Nishino akan kehilangan khidmat pemain Yokohama F. Marinos, Theerathon Bunmathan yang digantung perlawanan selepas mengutip dua kad kuning dalam dua perlawanan sebelum ini.




Malaysia perlu berwaspada dengan ancaman Thailand kerana ini tidak akan menjadi pasukan yang sama di Piala AFF Suzuki. Kemenangan Malaysia pada tahun lalu adalah kerana jaringan di tempat lawan dan pemain seperti Chanatip Songkrasin serta Teerasil Dangda tidak bersama mereka ketika itu. Anak buah Tan Cheng Hoe perlu memberikan 200% dalam perlawanan ini.

Perlawanan seterusnya buat Malaysia adalah Derby Nusantara bahagian kedua, berdepan Indonesia di Bukit Jalil pada 19 November. Biarpun Indonesia kini berada di tangga tercorot Kumpulan G, Malaysia tetap tidak boleh terlalu yakin dan mengelak daripada melakukan kesilapan yang boleh menghukum pasukan negara. Pintu buat Indonesia untuk menghuni dua tangga teratas bagaikan sudah tertutup, tetapi berdepan seteru kuat mereka, Indonesia akan memberikan segalanya untuk menebus kekalahan mereka di Jakarta pada bulan September lalu.




Enam mata wajib menjadi sasaran anak buah Tan Cheng Hoe dalam kalendar antarabangsa seterusnya. Beraksi di laman sendiri, Harimau Malaya tidak boleh lagi kehilangan sebarang mata jika mahu mengisi dua tangga teratas kumpulan. Untuk berada di tangga teratas mungkin sedikit sukar, tetapi sekurang-kurangnya Malaysia perlu merebut slot automatik ke Piala Asia 2023 dengan menjadi empat pasukan tangga kedua terbaik. Dengan sokongan padu ‘Ekor’ Harimau Malaya, tidak mustahil untuk kita melakukannya. – foxsports