Harimau Malaya mampu beri cabaran kepada Thailand – Cheng Hoe

Seperti dilaporkan baru-baru ini, ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe terbang ke Bangkok untuk ‘mengintip’ pasukan Thailand bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Thammasat.



Mengejutkan ramai, skuad Gajah Perang bimbingan Akira Nishino berjaya menumpaskan UAE dengan keputusan 2-1 hasil jaringan Teerasil Dangda dan Ekanit Panya.

Menurut pemerhatian Cheng Hoe, dengan keupayaan mengejutkan wakil asia barat itu, Thailand nyata merupakan sebuah pasukan bagus. Dan beliau sedikit sebanyak sudah mendapat gambaran awal mengenai corak permainan pasukan jiran tetangga itu.




Malah, jurulatih berusia 51 tahun ini sudah mula mencongak strategi awal untuk diterapkan kepada anak-anak buahnya menjelang perlawanan menentang Thailand yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, bulan depan.

“Kami perlu menghalang setiap hantaran Thailand dan tidak membenarkan pemain-pemain melakukan larian. Saya juga berasakan kami perlu mengelak daripada melakukan kesilapan untuk mudah dibolosi.” kata Tan Cheng Hoe seperti dipetik daripada Stadium Astro.

Walaubagaimanapun, jurulatih kelahiran Kedah ini tidak begitu gusar dengan kemampuan Thailand.




Beliau melahirkan keyakinan skuad Harimau Malaya mampu memberikan cabaran sengit kepada pasukan yang menduduki tangga ke-114 dunia lebih-lebih lagi beraksi di hadapan penyokong sendiri.

“Kami tidak boleh menilai mutu pasukan tersebut berdasarkan satu perlawanan. Saya berasakan kami tidak perlu berasa gementar dengan kemampuan lawan dan yakin beraksi di laman sendiri akan membantu melonjakkan mutu permainan skuad negara,” katanya lagi.

Skuad negara dijadualkan menentang Thailand pada 14 november kelak. Ketika ini, Thailand mengungguli Kumpulan G dengan 7 mata hasil daripada dua kemenangan dan satu seri. Manakala Malaysia di tangga ke-4 dengan kutipan 3 mata.