Harimau Malaya uji Tajikistan sebelum bertemu Thailand, Indonesia

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Tajikistan pada bulan hadapan sebelum menerima kunjungan Thailand dan Indonesia.



Menurut laporan dari Astro Arena, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam mengesahkan perkara itu hari ini sebagai persiapan penting pasukan Harimau Malaya untuk meraih mata penuh dalam kedua-dua perlawanan bertemu Thailand dan Indonesia bagi mencerahkan peluang untuk merebut slot automatik ke Piala Asia 2023.

Skuad Tajikistan kini menghuni tangga ke 115 dunia, berada ditempat ke 3 dalam kumpulan F pusingan 2 kelayakan Piala Dunia 2022 bersama-sama Jepun, Kyrgyzstan, Mongolia dan Myanmar dengan 6 mata hasil 2 kemenangan.




Perlawanan ini juga turut memberi peluang kepada pasukan Malaysia menguji skuad yang ‘setaraf’ dengan Thailand kerana skuad bimbingan Akira Nishino berada dikedudukan 114.

Dipihak Tajikistan pula, mereka berpeluang untuk mempersiapkan pasukan dengan keadaan cuaca serta gaya permainan Asia Tenggara sebelum berlepas ke Mandalay menentang pasukan Myanmar bagi perlawanan ke 4 mereka dalam kelayakan Piala Dunia 2022.