Pengendali Jepun pilihan negara ASEAN

Saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menyaksikan beberapa negara ASEAN menyandarkan harapan kepada jurulatih dari Jepun untuk mencanang pendekatan taktikal terbaik buat barisan kebangsaan mereka memberikan saingan yang kuat.


Thailand paling mencuri tumpuan apabila mengambil khidmat bekas pemain dan jurulatih Negara Matahari Terbit itu, iaitu Akira Nishino, yang mengendalikan Jepun dalam Piala Dunia 2018 di Russia.

Nishino hadir dengan reputasi hebat dengan pernah mengendalikan skuad B-20 dan 23 Jepun serta beberapa kelab utama Liga J seperti Kashiwa Reysol, Gamba Osaka dan Vissel Kobe.

Selepas tiga aksi kelayakan Kumpulan G, yang turut dihuni Malaysia, Thailand kendalian Nishino kini mengunguli saingan dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri.

Jelas sekali taktikal Nishino cukup berkesan sehingga Thailand berupaya menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2-1 dalam aksi kelayakan di Bangkok kelmarin.

Lebih menarik, Nishino meraih kemenangan ke atas UAE tanpa membariskan pemain Thailand yang berpangkalan di Jepun, iaitu Chanatip Songkrasin dan Thitipan Phuangchan, yang mengalami kecederaan.




Penulis menjangkakan ranking dunia Thailand mampu melonjak lebih tinggi jika keputusan positif terus diraih skuad Gajah Perang itu dalam aksi kelayakan dan persahabatan antarabangsa.

Ia juga menunjukkan kesungguhan Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) untuk terus menjana peningkatan skuad negara mereka dalam mengambil seorang jurulatih Jepun yang ternama.

Turut mengambil kelibat pengendali Jepun ialah Singapura, yang menyandarkan harapan kepada Tatsuma Yoshida untuk saingan kelayakan kali ini.

Meskipun tidak mempunyai rekod cemerlang seperti Nishino, terdapat peningkatan dalam corak permainan Singapura dalam saingan kelayakan selepas empat perlawanan.

Singapura kini menghuni tanga keempat Kumpulan D dengan empat mata, namun hanya dua mata di belakang pendahulu kumpulan, Uzbekistan, satu mata di belakang Arab Saudi di tangga kedua dan terikat dengan jumlah mata sama dengan Palestin.




Image result for yoshida singapore

Negara Seberang Tambak itu turut menewaskan Palestin 2-1 serta seri 2-2 dengan Yaman, dua negara yang berada di rangking dunia lebih tinggi berbanding Singapura.

Berbeza dengan Nishino, Yoshida tidak mempunyai kelompok pemain yang besar dalam membentuk skuad kebangsaan dengan Liga-S Singapura juga tidak begitu kompetitif berbanding saingan Liga-M atau Liga Satu Thailand ketika ini.

Yoshida hanya membina asas kekuatan pasukannya yang terdiri daripada pemain Singapura yang beraksi di Liga-M seperti Harris Harun, Safwan Baharuddin dan Shakir Hamzah untuk digabungkan dengan pemain muda seperti Ikhsan dan Irfan Fandi.

Buat masa ini, penulis percaya Tan Cheng Hoe masih relevan buat skuad kebangsaan dan dia wajar mendapat sokongan secukupnya daripada semua pihak.

Namun, jika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu kembali mengambil khidmat pengendali luar pada masa depan, penulis berharap mereka akan menimbang kemungkinan mengambil khidmat jurulatih dari Jepun pula.