Kami hormati JDT, tapi kami tak takut – Sathianathan

SELANGOR tidak gentar dengan status gah yang dimilki Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika berkunjung ke Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin bagi menghadapi aksi pertama separuh akhir Piala Malaysia malam ini.


Malah, pengendali Selangor, B Sathianathan optimis Gergasi Merah mampu untuk sekurang-kurangnya mengikat juara enam kali Liga Super itu dengan keputusan seri dalam perlawanan itu.

“Kita tahu JDT sebuah pasukan yang kuat dengan statusnya juara Liga Super enam kali berturut-turut. Maknanya mereka mempunyai barisan pemain yang berkualiti. Namun, mereka juga manusia dan boleh ditewaskan.

“Kami hormati mereka tetapi ia bukan bermakna kami takut. Saya mengharapkan pemain dapat bermain dengan corak permainan sedia ada serta lebih berdisiplin dan dalam masa sama saya tidak mahu pasukan dibolosi esok (malam ini),” katanya.




Biarpun mengakui rekod di Larkin tidak memihak Gergasi Merah apabila tewas 2-3 pada aksi Liga Super pada Jun lalu, namun Sathianathan tetap percaya pasukannya mampu melakar keputusan positif.

Dalam masa sama, beliau mahu barisan pemainnya tidak takut apabila berhadapan dengan lautan penyokong lawan di gelanggang keramat JDT itu.

“Pada saingan Liga Super di Larkin sebelum ini kami kalah 2-3. Namun, dalam saingan timbal balik (Piala Malaysia) ini, jika kita tewas 2-3, ia bakal jadi satu kelebihan berdasarkan jaringan gol.

“Untuk mengekang pemain JDT juga bukanlah perkara mudah kerana mereka tidak bergantung kepada seorang pemain sahaja, malah semua pemain dalam pasukan mereka berfungsi dengan baik.




“Namun, apa yang penting kita jangan mengaku kalah kerana dalam bola sepak ini apa-apa boleh berlaku. Saya mahukan komitmen para pemain di atas padang,” ujarnya.

Sathianathan turut mengesahkan tonggak importnya, Sandro Da Silva Mendonca berkemungkinan besar tidak dapat diturunkan selepas masih belum cergas akibat kecederaan.

“Saya tidak dapat beri jaminan Sandro boleh diturunkan. Segala-galanya bergantung kepada keputusan daripada pasukan perubatan hari ini,” jelasnya. – Sinar Harian