Selangor tewas tipis, JDT belum selamat di Shah Alam

Tentangan yang diberikan Selangor kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan pertama separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos sungguh baik sekali.


Walaupun tewas 1-2 dalam perlawanan pertama, ia sebenarnya memberi kelebihan kepada Selangor ketika ini apabila berjaya membawa satu jaringan di tempat lawan. Sudah pasti ia memberi tekanan kepada Johor DT apabila bertandang ke Shah Alam kelak.

Secara keseluruhan, kedua-dua pasukan bermain dengan baik sekali walaupun dalam separuh masa pertama, Selangor gagal memberi saingan dan tekanan kepada Johor DT.

Jaringan awal Johor DT melalui penyerang utama negara, Shafiq Ahmad, yang menerima hantaran daripada Harris Haron tidak mendatangkan panik kepada Selangor, sebaliknya terus bangkit untuk melakukan serangan dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan melalui Ifedayo Omosuyi tetapi selepas itu Selangor agak tengelam kerana membiarkan Johor DT menguasai permainan dan membiarkan pemain-pemain Johor DT selesa mengawal bola dalam pada separuh pertama.




Namun, dalam separuh masa kedua permainan sungguh berbeza apabila Selangor dan Johor DT bermain lebih agresif dan pantas walaupun pada awal separuh masa kedua, Johor DT mendahului permainan melalui jaringan rembatan Leandro Valazquez yang menerima hantaran Afiq Fazail dari luar kawasan penalti Selangor setelah keadaan kelam kabut di depan pintu gol Selangor.

Kemenangan pasukan Johor DT itu belum pasti memberi kelebihan kepada Johor DT sekiranya bermain sebagaimana yang mereka pamerkan di Larkin kerana ia kurang kreatif dan tiada elemen kejutan melalui strategi permainan serangan yang dicorakkan melalui perancangan Benjamin Mora.

Setiap gerakan yang dilakukan oleh pemain-pemain Johor DT mudah dibaca oleh pemain Selangor kerana kekuatan Johor DT terletak pada Safawi Rasid dan Gonzalo Cabrera.




Sekiranya kedua-dua pemain ini dimatikan gerakannya sudah pasti susah untuk Johor DT ke peringkat akhir kerana Selangor pasti akan bangkit dalam perlawanan kedua di Shah Alam, minggu depan, memandangkan Selangor mempunyai kekuatan dan aura mereka sendiri di laman sendiri, ia dibuktikan setelah Selangor berjaya menundukkan Perak juara musim lalu di peringkat suku akhir.