Liverpool gagal lebar rekod, Klopp bidas taktik bertahan United

MANCHESTER: Liverpool gagal menyamai rekod 18 kemenangan sederet Liga Perdana Inggeris namun gol penyamaan Adam Lallana memadai buat juara Eropah itu mengelak kekalahan apabila terikat 1-1 ketika berdepan Manchester United tengah malam tadi.


Jaringan kontroversi Marcus Rashford membolehkan skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer mendahului 1-0 pada babak pertama, tapi mereka tidak dapat bertahan apabila membiarkan Lallana yang masuk sebagai pemain gantian tidak dikawal lalu menemui gawang lima minit sebelum masa tamat.

Liverpool kini enam mata di depan Manchester City dan kekal di tangga teratas namun hampa untuk terus memastikan United terus tenggelam di tangga ke-13 dengan dua mata lagi ke zon penyingkiran.

Liverpool tidak menurunkan Mohamed Salah yang masih cedera dan kehilangannya nyata dirasai.




Pelawat yang kembali menggunakan khidmat penjaga gol Brazil, Alisson Becker yang pertama kali disenaraikan selepas sembuh dari kecederaan jarang diuji United yang memilih untuk berkubu di kawasan mereka dan sesekali melancarkan serangan balas.

Solskjaer juga beralih ke formasi 3-5-2 dalam usaha mengekang pergerakan sayap Liverpool, Trent Alexander-Arnold dan Andy Robertson dan ia nyata langkah berkesan apabila United berjaya menghalang mereka mencipta lebih banyak peluang.

Sementara itu Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp bingung dengan taktik bertahan Manchester United serta gol kontroversi yang disahkan sistem VAR sekali gus meragut peluang juara Eropah itu menambah rekod kemenangan Liverpool.

“Apabila kami datang ke sini tahun ini, tahun lalu dan tahun sebelumnya mereka hanya bertahan. Ia bukan mengkritik, ia adalah fakta,” tambah Klopp.

“Kualiti yang mereka ada, (apabila mereka) menetapkan seperti itu, ia amat sukar. Bukan alasan, kami perlu melakukan lebih baik. “Kami pasukan yang bagus dan ia normal jika lawan akan memikirkan bagaimana untuk mengatasi kami.” ujar Klopp.