Saad Ichalelene tiada dalam senarai calon pengganti Teong Kim

SERDANG, 21 Okt — Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Saad Ichalelene, tiada dalam senarai calon akhir pengganti yang bakal mengambil alih tugas Lim Teong Kim, selaku Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD).


Sumber terdekat memberitahu Bernama memaklumkan Majlis Sukan Negara (MSN) kini sudah pun mengenal pasti seorang individu untuk mengemudi AMD dan pengumuman mengenai perkembangan itu dijangka dibuat November ini.

“Ia (dilantik sebagai Pengarah AMD) seolah-olah menurunkan pangkatnya (Saad). Saad bukan calon dan tiada dalam senarai calon akhir untuk posisi tersebut.

“Daripada tiga individu dari luar negara dalam senarai akhir itu, kita telah kenal pasti individu tepat, untuk jawatan tersebut dan ia akan diumumkan November ini,” kata sumber ketika ditemui pada Seminar Memperkasakan PPBN di sini, hari ini.




Media tempatan sebelum ini melaporkan Saad yang merupakan bekas jurulatih remaja kelab gergasi Perancis, Paris Saint Germain (PSG) merupakan calon utama mengisi jawatan itu, selepas Jawatankuasa Pemandu NFDP memutuskan tidak melanjutkan kontrak Teong Kim.

Kontrak bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich selama 12 tahun itu yang bernilai RM175,000 sebulan, berakhir pada 31 Okt ini.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada sidang media seminar tersebut, mengesahkan sudah menerima makluman mengenai calon berkenaan.

Syed Saddiq berkata proses rundingan sedang berjalan dan memberi jaminan AMD bakal menerima pengarah baharu sebelum akhir tahun ini.




“Sebelum 2020 ia (keputusan) akan dimuktamadkan. Calon memang kita sudah ada, tetapi kita perlu memukatamadkan proses tersebut dan ia bukan mudah. Ada beberapa rundingan yang perlu dibincangkan bersama dengan semua pemegang taruh,” jelas beliau.

Teong Kim mula dilantik sebagai Pengarah Teknikal NFDP pada 2013, dan kemudian memegang jawatan sebagai Pengarah AMD pada 2016.

Bagaimanapun, tugasnya sebagai Pengarah Teknikal diambil alih Saad selepas penstrukturan semula NFDP dibuat pada Disember 2018, susulan kegagalan Malaysia layak ke suku akhir Kejuaraan B-16 AFC 2018 sekali gus menutup peluang beraksi pada Piala Dunia B-17 2019.– BERNAMA