Datanglah stadium sokong Selangor – Sathianathan

Datanglah sokong pasukan anda.


Itulah rayuan ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan kepada semua penyokong Selangor agar datang memberikan semangat kepada Red Giants dalam aksi separuh akhir kedua berdepan Johor Darul Ta’azim (JDT) di Stadium Shah Alam pada hari Sabtu ini.

Sathianathan berkata demikian dalam satu wawancara selepas perlawanan separuh akhir pertama pada hari Sabtu lalu. Selangor tewas 2-1 dalam perlawanan tersebut, tetapi Sathianathan pasti merasa masih ada harapan selepas berjaya membawa bekalan satu gol di tempat lawan.

“Ini memberikan peluang untuk penyokong kami datang beramai-ramai dan menjadi pemain ke-12. Saya merayu kepada mereka untuk datang menyokong pasukan kerana ini adalah peluang kita. Walaupun kami bermain menentang JDT, satu pasukan yang kuat sama ada bermain di tempat sendiri atau tempat lawan, ianya akan menjadi satu perlawanan yang menarik. Saya harap ia akan berpihak kepada Selangor dan saya berdoa kerana saya selalu berkata JDT adalah pasukan yang lengkap.”




Persoalannya, mampukah penyokong Selangor membanjiri Stadium Shah Alam pada hari Sabtu ini?

Beraksi di Stadium Shah Alam yang mampu memuatkan lebih 80,000 orang penyokong, ianya nampak sedikit sukar. Ditambah pula ada sebilangan penyokong yang merasa ralat kerana Selangor meletakkan sasaran menjulang Piala Malaysia berbanding memperbaiki kedudukan dalam aksi Liga Super yang lalu, sekaligus enggan menghadirkan diri ke perlawanan Piala Malaysia.

Ini bukanlah kali pertama Sathianathan merayu agar penyokong Selangor dapat hadirkan diri ke stadium kerana dia melakukan perkara yang sama ketika aksi suku akhir kedua menentang Perak yang lalu. Dalam perlawanan tersebut seramai 12441 orang penyokong telah direkodkan hadir, satu angka yang boleh dikatakan sedikit.




Adakah perkara yang sama akan berulang bagi aksi separuh akhir ini? Melihat kepada laman jual beli atas talian Shopee, tiket bagi perlawanan tersebut mencatat sekitar 3700 jualan. Buat masa ini, satu promosi sedang dilakukan di mana bagi penyokong Selangor, jika mereka membeli tiket di laman Shopee, dengan pembelian satu tiket, mereka akan mendapat satu tiket lagi percuma. Penyokong Selangor yang mempunyai pas bermusim juga masih boleh menggunakan pas mereka untuk perlawanan separuh akhir ini.

Jadi bagaimana penyokong Selangor? Adakah anda akan mendengar rayuan B.Sathianathan atau membiarkan sahaja rumah Merah Kuning bertukar menjadi rumah Harimau Selatan? – foxsport