Bekas Penjaring Terbanyak Liga 1 Berada Dalam Radar Pasukan Liga Super

Berita mengenai perpindahan pemain dalam saingan Liga Malaysia sudah mula kedengaran dimana beberapa pasukan sudah mencorak langkah memburu pemain yang diingini untuk memperkuatkan pasukan menjelang saingan musim 2020.


Baru-baru ini, beberapa pasukan yang bersaing di Liga Super musim hadapan termasuk satu pasukan yang mempunyai dana besar dikhabarkan memburu khidmat penyerang yang pernah memenangi anugerah Kasut Emas saingan Liga 1 Indonesia musim 2018 iaitu Aleksandar Rakić.

Rakic merupakan penyerang yang berasal dari Serbia dan mula beraksi di Liga Indonesia pada musim lalu dimana beliau menyarung jersi PS TIRA-Persikabo. Sepanjang saingan liga, penyerang berusia 32 tahun ini berjaya menjaringkan 21 gol bagi membolehkan beliau mengungguli carta penjaring terbanyak di hadapan penyerang Persebaya, David Da Silva (20) dan penyerang Persija, Marko Simic (18).

Setelah semusim beraksi bersama PS TIRA, Rakic kemudiannya menerima tawaran dari salah satu kelab terkaya di Indonesia iaitu Madura United bagi menghadapi musim 2019. Namun, Rakic gagal mengulangi prestasi cemerlang seperti musim sebelumnya dimana beliau hanya menjaringkan 8 gol setakat ini.




Salah satu faktor mengapa Rakic gagal menyerlah bersama Madura ialah pertukaran posisi daripada penyerang kepada pemain sayap. Pengendali Madura United lebih gemar meletakkan pemain naturalisasi Indonesia, Beto Goncalves sebagai penyerang utama dan meletakkan Rakic di posisi sayap.

Apa yang pasti, mana-mana pasukan Liga Super boleh mengukuhkan lagi jentera serangan jika mereka mendapatkan khidmat Rakic. Ini kerana pemain ini sudah mempunyai pengalaman beraksi di Asia Tenggara dan beliau mampu untuk menyesuaikan diri. – VocketFC