Bayar RM1 juta jika mahu khidmat Nik Akif Syahiran

Image result for Nik Akif Syahiran

Mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat pemain tengah kreatif, Nik Akif Syahiran perlu membayar RM1 juta kepada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).


Menurut laporan Harian Metro, jumlah tersebut perlu dibayar memandangkan Nik Akif masih mempunyai baki kontrak selama setahun bersama skuad The Red Warriors (TRW).

Sejak beberapa hari lalu, spekulasi bertiup kencang di mana pemain berusia 20 tahun ini dikaitkan dengan pasukan yang beraksi di kancah Liga Super, Terengganu FC.

Mengulas mengenai spekulasi tersebut, pengurus Terengganu FC, Shahrizal Yahya menyatakan belum ada kepastian berkenaan perpindahan Nik Akif ke pasukan Terengganu FC.




“Kami serahkan kepada barisan jurulatih untuk memutuskannya lagipun saya difahamkan kontrak pemain itu masih ada lagi dengan pasukan Kelantan.

“Jadi kita tidak mahu membelakangi prosedur bagi mengelak bermasam muka dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan sebagainya.

“Oleh itu saya harap peminat tidak membuat sebarang spekulasi sendiri berhubung perpindahan pemain itu ke TFC kerana kedudukannya belum pasti,” kata Shahrizal seperti dipetik daripada Harian Metro.




Selain daripada menjadi tonggak pasukan TRW, Nik Akif Syahiran juga merupakan tonggak utama skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) kendalian Datuk Ong Kim Swee dan sebahagian daripada skuad Kim Swee ketika saingan kelayakan Kejuaraan AFC B-23 pada mac lalu.

Dalam saingan tersebut, Nik Akif tampil dua kali dalam kesebelasan utama ketika menentang Filipina dan China yang menyaksikan skuad Harimau Muda menamatkan saingan peringkat Kumpulan J di tangga kedua dengan kutipan 7 mata.