VIDEO Leicester City belasah Southampton 9-0

SOUTHAMTON, United Kingdom: Pengurus Leicester City, Brendan Rodgers memuji anak buahnya yang garang selepas berpesta gol dengan membelasah Southampton 9-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, pagi tadi.

Ayoze Perez dan Jamie Vardy masing-masing mencipta hatrik membantu skuad Rodger mendaki ke tangga kedua.

Jaringan itu menyamai rekod Manchester United yang membelasah Ipswich 9-0 di Old Trafford pada Mac 1995 iaitu sejarah jaringan terbesar Liga Perdana.


“Kami tiada ihsan. Saya sangat bangga menjadi pengurus pasukan itu,” kata Rodgers selepas perlawanan di Stadium St Mary.

“Ini tanda yang bagus. Kami mahu buktikan kami adalah pasukan yang bagus terutama pada separuh masa kedua.

“Kami bermain dengan corak serangan yang mudah. Apabila mendapat gol yang banyak mudah untuk memperlahankan tempo permainan tapi kami kekal fokus. Kami mahu muncul pasukan teratas dan untuk itu kami perlu tajam.”

Keputusan itu menyaksikan anak buah Hasenhuttl tenggelam di kedudukan tiga terbawah dan terus terkulai sejurus Ryan Bertrand dilayangkan kad merah seawal minit ke-10.




“Persembahan kami itu adalah mala petaka, saya minta maaf dan 100 peratus bertanggungjawab, saya tidak pernah melihat mereka beraksi seteruk ini, tidak melawan langsung,” kata jurulatih The Saints itu.

Pemain tengah Southampton, Nathan Redmond berkata: “Ini persembahan memalukan, sangat mengerikan.”

Leicester kini hanya terpisah lima mata di belakang pendahulu Liverpool, yang akan menunggu kunjungan Tottenham awal pagi Isnin.

Ben Chilwell memecah kebuntuan seawal minit ke-10 apabila menolak masuk bola tatkala Ryan Bertrand dilayangkan kad merah selepas rujukan VAR mendapati dia membentes Perez.

Youri Tielemans dan Perez kemudian pantas mengukuhkan Leicester dengan tiga gol dalam masa kurang 20 minit.




Perez sekali lagi meledak gol seminit sebelum rehat untuk mendahlui 4-0 sebelum Vardy menambah gol sekali gus membantu Leicester buat pertama kali berjaya meledak lima gol pada separuh masa sejak 1984.

Jumlah itu belum cukup buat Leicester apabila terus menghujani gawang Southampton.

Perez melengkapkan hatriknya selepas melarikan bola Hervey Barnes pada minit ke-57 disusuli tandukan Vardy hasil hantaran silang Chilwell seminit kemudian.

James Maddison menambah derita tuan rumah lima minit sebelum tamat dengan sepakan percuma yang menewaskan penjaga gol, Angus Gunn.

Vardy melengkapkan sejarah Leicester dengan gol kesembilan menerusi penalti pada masa kecederaan sekali gus melonjak namanya dalam senarai penjaring terbanyak liga ketika ini. – AFP