Nwakaeme keliru peraturan gol di laman lawan, MFL tegaskan peraturan sejak 2010

Pemain import Pahang, Dickson Nwakaeme, keliru dengan peraturan gol di laman lawan ketika disingkirkan Kedah dalam separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur semalam.


Pemain kelahiran Lagos, Nigeria itu dilihat meraikan gol penyamaannya kerana memikirkan ia mampu membawa mereka ke penentuan sepakan penalti.

Hakikatnya, Pahang masih ketinggalan kerana Kedah terlebih dahulu merekodkan lima jaringan di gelanggang lawan — lebih dua berbanding mereka.

Difahamkan, beberapa pemain di atas padang tidak arif dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) itu walaupun sudah diberikan taklimat sebelum perlawanan bermula.

Peraturan terdahulu memperuntukkan hanya gol laman lawan dalam tempoh 90 minit sebenar akan dikira tetapi ia tidak lagi relevan dalam saingan kali ini.

“Saya beritahu bahawa masih belum habis dan masih ada peluang lagi.

“Jangan tunjukkan kelemahan kita tetapi benda itu berlaku juga.

“Saya tidak boleh nak cakap apa, benda sudah berlaku.

“Kami bangkit semula dan mereka sangka gol kelima itu dapat menyelamatkan kami ke penentuan penalti.

“Padahal kami sudah pesan.

“Dickson pula tidak perasan perkara itu,” kata ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh, disusuli tawa kecilnya.

Nwakaeme hanya menyedari peluang pasukannya sudah tertutup sebaik wisel penamat ditiupkan.

Dia kemudian dilihat gagal mengawal emosinya sebelum meninggalkan padang.




“Saya pun sudah tidak boleh nak kata apa-apa lagi.

“Apapun, saya bangga jugalah dengan pemain walaupun kami sebenarnya tidak tewas.

“Kami hanya kurang jaringan di tempat lawan.

“Apa sekalipun, tahniah untuk Kedah,” tambah Dollah.

Sementara itu MFL menegaskan bahawa keputusan adalah berdasarkan Peraturan Pertandingan Liga Malaysia di bawah artikel 6.4, Dalam Pertandingan Kalah Mati (2) pusingan atau Perlawanan Akhir yang diadakan secara timbal balik, maka penentuan Pasukan Pemenang atau Pasukan Teratas selepas keputusan penuh masa Perlawanan Pusingan Kedua hendaklah mengikut susunan hirarki seperti berikut:-




a) Pasukan yang mendapat jumlah mata terbanyak; jika sama,
b) Pasukan yang mempunyai jumlah perbezaan gol terbanyak; jika sama,
c) Pasukan yang mempunyai jumlah jaringan gol terbanyak; dan jika sama,
d) Jaringan gol di venue pihak lawan dikira berganda; jika sama,
e) Keputusan Perlawanan masa tambahan; jika seri;
f) Jaringan gol di venue pihak lawan selepas masa penuh tambahan dikira berganda; jika sama,
g) Pasukan yang menang sepakan dari tanda penalti mengikut Undang-Undang FIFA.

MFL selaku badan penganjur pertandingan bertanggungjawab dalam menetapkan sesuatu peraturan berdasarkan FIFA law of the games dan FIFA rules & regulation.

Ini bukan peraturan baharu yang dikuatkuasakan kerana ia sudah diguna pakai sejak 2010 termasuk membabitkan perlawanan Piala FA dan Challenge Cup.

Perkara ini juga telah dimaklumkan kepada setiap pasukan yang bertanding pada Mesyuarat Koordinasi Perlawanan pada pagi hari perlawanan yang turut dihadiri pegawai dan jurulatih kedua-dua pasukan. – stadiumastro/MFL