Peluang terbaik JDT raih ‘treble’

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) yang merealisasikan impian ke pentas final Piala Malaysia tampak berpeluang menamatkan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini lebih gemilang bagi memburu status juara `treble’ untuk menambah koleksi kejuaraan.


Selepas muncul juara Piala Sumbangsih di awal musim dan merangkul kejuaraan Liga Super enam musim berturut-turut, skuad bergelar Harimau Selatan berdepan satu lagi misi untuk memburu piala ketiga apabila berdepan Kedah pada aksi sama ada di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Skuad Harimau Selatan kendalian Benjamin Mora layak ke final selepas `menguburkan’ Selangor di Stadium Shah Alam menerusi agregat 5-1 manakala skuad Lang Merah layak menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan walaupun seri 8-8 secara agregat.

Pertembungan JDT-Kedah bakal menyaksikan ulangan final Piala Malaysia pada musim 2017.

Ketika itu skuad Harimau Selatan dibimbing Ulisses Morais menamatkan kemarau 26 tahun pasukan Johor untuk menjulang piala berprestij selepas menewaskan Kedah 2-0 hasil jaringan Aidil Zafuan Abd Radzak dan Gonzalo Cabrera.

Kini terletak kepada kebijaksanaan Mora dan Luciano Figueroa yang pernah beraksi pada final 2017 membentuk taktikal lebih ampuh berdepan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak yang pasti turun dengan misi membalas dendam selepas kecewa dua musim lalu.




Agak menarik pertembungan itu bakal menyaksikan kedua-dua pasukan akan tampil dengan formasi permainan berbeza tatkala JDT lebih gemar menggunakan formasi 4-3-3 dan Kedah tampak bakal turun beraksi dengan formasi 4-4-1-1.

Namun di sebalik pemburuan kejuaraan piala berprestij, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampak enggan terlalu memberi tekanan kepada pemain skuad itu malah beliau juga mahu pemain beraksi seperti biasa.

“Saya berpendapat bahawa pertandingan liga dan Piala FA adalah yang paling berprestij kerana ia menyediakan peluang untuk beraksi di pentas lebih tinggi iaitu Liga Juara-Juara Asia (ACL) malah saya juga telah menyatakan perkara yang sama sebelum ini.




“Jadi bagi saya, Piala Malaysia hanyalah satu lagi saingan, tidak lebih dari itu.

Tapi saya yakin bahawa kelab, pemain-pemain dan barisan kejurulatihan, bersikap profesional dan mereka tahu tanggungjawab, oleh itu mereka akan memberikan yang terbaik untuk penyokong, penaja dan semua yang terbabit,” kata Tunku Ismail.

Yang pasti, keinginan untuk muncul juara pada musim ini selepas melakukannya dua musim lalu tetap menebal pada setiap pemain Harimau Selatan dan aksi final Sabtu ini bakal menyaksikan pertembungan `epik’ dua pasukan yang memiliki aura tersendiri.