Pemain Southampton derma gaji tebus aib

Image result for southampton 9-0

LONDON: Pemain dan barisan kejurulatihan Southampton akan menyumbangkan gaji masing-masing untuk disalurkan kepada Yayasan Saints sebagai langkah menebus kekalahan besar 0-9 pasukan itu di tangan Leicester City.



Kekalahan itu menyaksikan Leicester menyamai rekod yang dilakukan Manchester United ke atas Ipswich di Old Trafford pada Mac 1995 yang menjadi kemenangan terbesar dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pengendali The Saint, Ralph Hassenhuttl yang bertanggungjawab atas keputusan itu kini perlu memulihkan kembali moral anak buahnya menjelang dua aksi berdepan Manchester City, minggu ini.

Southampton akan bertemu juara bertahan Piala Liga, City pada pusingan keempat, esok sebelum sekali lagi menentang lawan sama untuk aksi EPL.




“Pemain dan barisan kejurulatihan pasukan utama Southampton mengumumkan mereka akan menyumbangkan gaji mereka kepada Yayasan Saints mulai Jumaat lalu,” kata pasukan itu menerusi satu kenyataan.

“Skuad sudah berada di Staplewood Campus sejak hujung minggu lalu dan sedang melakukan perkara yang tepat untuk penyokong pasukan.

“Sebagai langkah pertama, pasukan bersetuju mendermakan gaji mereka kepada Yayasan Saints untuk membantu kerja amal yang dilakukan.”

Yayasan terbabit membantu kanak-kanak, remaja dan orang dewasa yang berdepan masalah di sekitar Southampton. -AFP