Al Ahed julang Piala AFC

KELAB Lubnan, Al Ahed menjuarai Piala AFC malam tadi selepas mengatasi 4.25 SC dari Korea Utara yang beraksi 10 pemain 1-0 pada perlawanan akhir yang diubah dua kali dari gelanggang asal Pyongyang.


Aksi penentuan pertandingan kelas kedua kelab Asia itu diubah ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 25 Oktober lalu, hanya beberapa hari selepas ia ditukar ke Shanghai, China disebabkan isu antarabangsa membabitkan Korea Utara.

Penjaga gol 4.25 SC, An Tae Song dibuang padang pada minit ke-26 selepas menjatuhkan Ahmad Zreik di penjuru kotak penalti, ketika pemain Lubnan itu meluru ke arah kawasan gol.

Al Ahed pantas menguasai perlawanan namun gagal menyempurnakan beberapa peluang dalam tempoh sejam pertama, termasuk sejurus sebelum rehat apabila rembatan Ahmed Akaichi melepasi palang sekalipun dari jarak dekat.

Al Ahed akhirnya meraih kemenangan menerusi tandukan padu Issah Yakubu pada minit ke-74.




Dengan kemenangan itu, Al Ahed muncul kelab pertama Lubnan menjulang trofi yang didominasi pasukan Asia Barat sejak ia diperkenalkan pada 2005. Air Force Club dari Iraq menang tiga edisi terakhir.

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menyatakan keputusan mengubah aksi final dari Pyongyang diambil bagi memastikan perlawanan itu boleh disiarkan secara langsung ke seluruh Asia dan Timur Tengah.

Bulan lalu, Korea Utara dan Selatan beraksi perlawanan kelayakan Piala Dunia tanpa penonton selepas Pyongyang enggan menyiarkannya secara langsung dan melarang peminat serta media hadir. Perlawanan itu berakhir seri tanpa jaringan.